.png)
Rejim haram Israel memberi isyarat untuk memperluas kawasan kawalannya di Gaza kepada 70%, sekali gus menjadikan ruang hidup rakyat Palestin semakin sempit dan tidak sesuai untuk didiami. Perkara itu berlaku selepas Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu mengakui tenteranya kini menguasai sekitar 60% wilayah Gaza dan merancang untuk memperluaskan kawalan tersebut.
Sejak 20 Oktober tahun lalu, rejim haram Israel turut meletakkan blok konkrit kuning di sepanjang garisan kuning, iaitu sempadan yang muncul selepas pengunduran awal tentera Zionis dari beberapa kawasan Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata.
Berhampiran garis itu, penduduk berkata kereta kebal, jentolak dan tembakan hampir setiap hari dilancarkan oleh penjajah telah mengubah kehidupan mereka menjadi perjuangan berterusan untuk terus hidup.
“Tiada lagi tempat untuk dituju,” kata penduduk Palestin, Abdullah al-Astal kepada Anadolu. “Orang ramai sudah pun terperangkap di kawasan yang sangat kecil.”
Al-Astal, yang tinggal berhampiran garis tersebut berkata kereta kebal Israel kerap mengiringi jentolak yang merobohkan rumah di kawasan berhampiran, manakala tembakan daripada kenderaan tentera dan dron hampir tidak pernah berhenti.
“Pada bila-bila masa, kami boleh terkena tembakan atau terbunuh,” katanya sambil menunjuk ke arah rumah-rumah berhampiran yang penghuninya cedera akibat tembakan Israel.
“Jika garisan kuning diperluaskan lagi, ke mana orang ramai hendak pergi?” kata al-Astal. “Tiada lagi tempat selamat di Gaza.”
Di kejiranan al-Zaytun, bandar Gaza, seorang penduduk Palestin, Hamdi Malaka menyuarakan kebimbangan yang sama.
“Jika mereka mahu menjajah seluruh Gaza, mereka patut katakan dengan jelas, bukannya bercakap tentang garisan kuning dan garisan merah,” katanya kepada Anadolu.
“Kami sudah pun berada berhampiran garisan kuning,” katanya. “Jika ia bergerak lebih jauh, kami akan berada di dalamnya.”
Minggu lalu, HAMAS menyeru Lembaga Keamanan (BOP) supaya mengambil pendirian jelas berhubung kenyataan rejim haram Israel mengenai rancangan untuk menguasai 70% wilayah Gaza.
Genosid Zionis di Gaza sejak Oktober 2023 telah membunuh hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, tentera Zionis telah membunuh 947 rakyat Palestin dan mencederakan 2,935 yang lain dalam serangan hampir setiap hari, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi