Brigedier Jeneral Yehuda Vach, komander Divisyen Ke-252 Israel, kini berada di tengah-tengah peningkatan laporan mengenai jenayah perang. Beberapa laporan mendedahkan bahawa beliau bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam Palestin, menyasarkan pusat bantuan serta memanipulasi bantuan kemanusiaan untuk tujuan ketenteraan.
Satu siasatan terkini oleh Haaretz mendedahkan bahawa askar Israel di bawah pimpinan Vach menerima arahan jelas untuk menembak rakyat Palestin yang kelaparan apabila mereka menghampiri pusat agihan bantuan walaupun mereka tidak bersenjata dan tidak mengancam.
“Ia adalah lapangan pembunuhan, mereka tidak tembak gas pemedih mata. Mereka tembak semuanya—mesingan, bom tangan, mortar.” Kata seorang askar Israel.
Askar itu menggambarkan rutin harian membunuh, di mana berpuluh-puluh rakyat Palestin yang kelaparan ditembak mati setiap hari. Operasi itu secara sinis dinamakan “Ikan Masin”, adaptasi kejam daripada permainan kanak-kanak “Lampu Hijau, Lampu Merah.” Askar akan menembak apabila orang menghampiri dan berhenti apabila mereka berundur.
Pejabat Media Kerajaan Gaza dan pertubuhan hak asasi sejak lama menuduh Vach merancang dasar kelaparan, pemindahan paksa dan pembunuhan beramai-ramai. Vach kini menjadi simbol mesin perang Israel di Gaza.
Menurut laporan Haaretz sebelum ini, Vach membenarkan salah seorang saudaranya membentuk unit pemusnah tidak rasmi. Unit yang terdiri daripada askar dan penduduk haram itu mempunyai misi mudah iaitu musnahkan sebanyak mungkin Gaza. Vach memberi mereka akses tanpa had ke Koridor Netzarim yang kini dikenali saksi sebagai “lebuh raya maut.”
Matlamat Vach adalah untuk mengusir 250,000 rakyat Palestin dari utara Gaza, dia kata mereka hanya akan belajar apabila hilang tanah.” Kata seorang pegawai Israel.
Bekas askar memberi keterangan bahawa pasukannya diarahkan menembak sesiapa sahaja yang melintasi garisan yang ditetapkan termasuk kanak-kanak yang memegang bendera putih. Dia mengimbas kembali kejadian menembak seorang budak lelaki Palestin lalu meraikan pembunuhan itu. Apabila ditanya, komander menjawab: “Tiada orang yang tidak bersalah di Gaza.”
Haaretz baru-baru ini juga mendedahkan bahawa Vach memainkan peranan utama dalam menyelaras dengan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF). Dokumen menunjukkan Israel menggunakan operasi makanan terhad kumpulan itu untuk mengelak kecaman global, sambil terus mengekalkan dasar kebuluran dan kekacauan di Gaza.
Seorang pegawai mengakui bahawa “aktiviti GHF memberi Israel masa dan perlindungan antarabangsa. Rakaman dari pusat bantuan disimpan rahsia. Tentera Israel tidak mendedahkan sebarang dokumentasi awam tentang apa yang berlaku berhampiran lokasi tersebut.
“Gaza sudah menjadi halaman belakang. Tempat tanpa undang-undang. Tiada siapa peduli lagi,” kata seorang tentera Israel.
Pada 23 Mac, Vach mengarahkan pembunuhan beramai-ramai ke atas 15 petugas perubatan Palestin di Rafah. Askar Briged Golani melepaskan tembakan ke atas dua konvoi ambulans dan menanam mayat, termasuk kenderaan, dalam kubur besar. Pasukan PBB menemui kubur itu enam hari kemudian.
Yayasan Hind Rajab telah memfailkan aduan rasmi kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menamakan Brig. Jen. Yehuda Vach sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Aduan itu mendokumentasikan puluhan kematian orang awam, termasuk dua remaja lelaki yang ditembak ketika mencari makanan.
Jeneral Yehuda Vach kini dituduh mengetuai kempen ketenteraan pemusnahan yang berselindung di sebalik koordinasi kemanusiaan. Namanya muncul dalam pelbagai laporan lapangan, keterangan askar, dan aduan hak asasi manusia. Dari tembakan beramai-ramai di barisan makanan hingga menutup-nutupi pembunuhan petugas perubatan, rekodnya mencerminkan apa yang ramai sebut sebagai dasar pemusnahan, bukan pertahanan.
Sumber: Quds News Network