Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melalui utusan khasnya ke Timur Tengah, Steve Witkoff telah mengumumkan pelancaran fasa kedua rancangan yang diusahakan oleh AS bagi menamatkan perang genosid rejim Israel ke atas rakyat Palestin di semenanjung Gaza.


Steve Witkoff menyatakan dalam hantaran media sosial X pada hari Rabu bahawa 20 Pelan Damai Trump untuk Gaza kini sudah beralih daripada gencatan senjata kepada proses demiliterisasi, pendekatan pentadbiran profesional dan pembinaan semula Gaza.


Fasa kedua ini akan menubuhkan pentadbiran sementara untuk mentadbir wilayah Palestin yang diserang serta melaksanakan demiliterisasi sepenuhnya dan pembinaan semula Gaza, menurut Witkoff.


“AS menjangkakan HAMAS akan mematuhi sepenuhnya tanggungjawabnya, termasuk pemulangan segera tawanan yang telah meninggal dunia. Kegagalan mematuhi ketetapan tersebut akan mengundang akibat yang serius,” katanya.


Sejak gencatan senjata yang diusahakan AS mula berkuat kuasa pada Oktober lalu, Israel telah melanggar perjanjian itu lebih 1,190 kali, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, mengakibatkan lebih 400 rakyat Palestin terkorban dan menyekat bantuan kemanusiaan daripada memasuki wilayah tersebut.


HAMAS yang mengecam pelanggaran gencatan senjata Israel secara berulang, belum memberikan sebarang kenyataan mengenai pengumuman Witkoff.


Melaporkan dari Deir el-Balah, tengah Gaza pada Rabu, Tareq Abu Azzoum dari Al Jazeera menyatakan bahawa kumpulan Palestin itu sebelum ini bersedia menyerahkan pentadbiran harian Gaza seperti yang digariskan dalam rancangan Trump.


Bagaimanapun, komposisi sebenar dan kuasa badan sementara yang dijangka mentadbir wilayah itu masih belum jelas, menurut Abu Azzoum.


Beliau menambah bahawa persoalan serius juga wujud berkaitan pembinaan semula Gaza, di mana lebih 80 peratus bangunan telah rosak atau musnah akibat serangan pengeboman Israel.


Sumber: Al Jazeera, Reuters

Written by
Admin
Published on
January 15, 2026