Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran tegas susulan serangan tentera Israel ke atas kemudahan utama organisasi itu di Gaza, termasuk sebuah bangunan yang menempatkan kakitangan dan keluarga mereka serta pusat perubatan yang diserang berulang kali pada Isnin.
Serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman kakitangan WHO di Deir al-Balah sebanyak tiga kali telah mengakibatkan kerosakan besar dan kebakaran. Insiden itu memaksa kakitangan serta keluarga mereka, termasuk kanak-kanak, melarikan diri dengan berjalan kaki ke arah Al-Mawasi dalam keadaan serangan masih berterusan.
Dilaporkan bahawa tentera Israel telah memasuki bangunan tersebut dan menggari kakitangan lelaki serta saudara mereka, melucutkan pakaian mereka, dan menyoal siasat mereka di bawah ancaman senjata. Dua kakitangan WHO bersama dua ahli keluarganya telah ditahan dengan tiga daripadanya kemudiannya dibebaskan, manakala seorang kakitangan masih berada dalam tahanan Israel.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus:
“Serangan ini menyebabkan rakan sekerja kami telah terdedah kepada bahaya yang amat serius, menyerang wanita dan kanak-kanak serta memaksa mereka melarikan diri dalam keadaan diserang adalah satu pelanggaran hak asasi manusia.”
Dalam satu operasi penyelamatan berisiko tinggi, WHO telah memindahkan seramai 32 individu, termasuk kanak-kanak, ke pejabatnya. Namun, lokasi pejabat tersebut kini berhampiran zon pemindahan dan terus terdedah kepada ancaman berterusan.
Pada hari yang sama, Pusat Perubatan Utama WHO di Deir al-Balah turut menjadi sasaran serangan. Letupan dan kebakaran yang tercetus telah memusnahkan bekalan perubatan, manakala tapak tersebut kemudiannya dijarah oleh orang awam yang terdesak. Pusat itu kini tidak lagi beroperasi.
“Ruang untuk operasi kemanusiaan semakin mengecil,” tegas WHO, sambil menyeru negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan bantuan kecemasan, terutama bekalan perubatan, disalurkan segera ke Gaza.
"Kehidupan di Gaza terus dihimpit tanpa henti," kata WHO. "Peluang untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa dan memulihkan sistem kesihatan semakin lenyap."
“Gencatan senjata bukan sahaja perlu – ia sudah terlalu lewat,” tegas pertubuhan itu.
Sumber: Quds News Network