Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), krisis kebuluran di semenanjung Gaza masih berada pada tahap kritikal selepas dua minggu gencatan senjata berkuat kuasa, sambil beberapa badan bantuan antarabangsa mendesak Israel membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.


Badan-badan bantuan memberi amaran pada Khamis bahawa bekalan makanan yang memasuki wilayah terkepung Gaza masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan penduduknya. Program Makanan Sedunia (WFP) turut memaklumkan bahawa jumlah bekalan harian masih jauh di bawah sasaran 2,000 tan metrik sehari, memandangkan hanya dua lintasan sempadan dibuka oleh Israel.


“Situasi semasa masih kekal kritikal kerana kemasukan bantuan tidak mencukupi,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.


Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya satu per empat daripada penduduk Gaza, termasuk 11,500 wanita hamil kini sedang kelaparan dan kesan kekurangan zat makanan ini dijangka akan membawa implikasi berpanjangan terhadap generasi akan datang.


Timbalan Pengarah Eksekutif Tabung Penduduk PBB (UNFPA), Andrew Saberton memaklumkan bahawa 70 peratus bayi baru lahir di Gaza kini mengalami pramatang atau kurang berat badan, berbanding hanya 20 peratus sebelum Oktober 2023.


“Kesan kekurangan zat makanan ini bukan sahaja terhadap ibu, tetapi terhadap bayi yang dilahirkan – mengakibatkan masalah kesihatan jangka panjang sepanjang hayat mereka,” katanya.


Krisis kebuluran secara rasmi diisytiharkan di bandar Gaza dan kawasan sekitarnya pada Ogos lalu, apabila badan penilai bebas Integrated Food Security Phase Classification (IPC) melaporkan bahawa lebih 500,000 penduduk Gaza sedang menghadapi ‘bencana’ ini.


Gencatan senjata yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) tersebut mula berkuat kuasa pada 10 Oktober. Mengikut perjanjian itu, kemasukan bantuan kemanusiaan sepatutnya meningkat kepada 2,000 tan sehari, namun WFP mendedahkan hanya kira-kira 750 tan metrik makanan yang berjaya masuk setiap hari kerana hanya dua lintasan di bawah kawalan Israel yang masih beroperasi — Karem Abu Salem (Kerem Shalom) di selatan dan al-Karara (Kissufim) di tengah.


Menurut Bahaa Zaqout, Pengarah Hubungan Luar bagi Persatuan Pertanian Palestin (PARC) berkata trak komersial dibenarkan membawa masuk biskut, coklat dan minuman ringan, namun barangan asas seperti biji benih dan zaitun masih disekat.


“Malangnya, barangan yang dibenarkan masuk tidak memenuhi keperluan nutrisi minimum untuk kanak-kanak, wanita dan golongan paling rentan,” katanya sambil menambah bahawa walaupun ada buah-buahan dan sayur-sayuran yang masuk, harganya terlalu mahal.


“Satu kilogram tomato yang sebelum ini berharga satu shekel kini mencecah 15 shekel (AS$4.50),” katanya lagi.


Sebanyak 41 pertubuhan bantuan antarabangsa, termasuk Oxfam dan Majlis Pelarian Norway (NRC), dalam satu surat terbuka pada Khamis mendakwa Israel tidak membenarkan bantuan masuk ke Gaza sewenang-wenangnya.


“Antara 10 hingga 21 Oktober, 99 permohonan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa untuk menghantar bantuan ke Gaza telah ditolak, manakala enam
permohonan oleh agensi PBB turut dinafikan,” kata surat itu.


Bantuan yang dihalang daripada memasuki Gaza termasuk khemah, makanan, selimut, ubat-ubatan, pakaian kanak-kanak, kit kebersihan dan bahan sanitasi. Barangan seperti ini sepatutnya tidak disekat sepanjang tempoh gencatan senjata.


Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
October 25, 2025