
Satu pertempuran telah tercetus antara polis Zionis dan penunjuk perasaan Yahudi ultra-Ortodoks di luar sebuah pejabat pengambilan tentera di Baitul Maqdis Barat pada Ahad lalu. Insiden tersebut berlaku susulan bantahan dalam kalangan komuniti berkenaan terhadap peningkatan pelaksanaan perkhidmatan ketenteraan wajib.
Polis Zionis dilaporkan menggunakan meriam air berbau busuk bagi menghalang penunjuk perasaan yang cuba menyekat lalu menuju ke pejabat pengambilan tentera itu.
Sementara itu, menurut penyiar awam Israel, KAN, ratusan pelajar *yeshiva Haredi turut mengadakan protes di Kiryat Ono, berhampiran Tel Aviv bagi menghalang rekrut baharu daripada sampai ke pejabat pengambilan tentera di kawasan Tel HaShomer.
Ketegangan antara polis dan penunjuk perasaan Haredi semakin memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila komuniti tersebut terus menentang peraturan wajib perkhidmatan tentera.
Protes itu menyusuli keputusan Mahkamah Agung pada tahun 2024 yang membatalkan pengecualian sekian lama diberikan kepada lelaki ultra-Ortodoks, serta melarang pembiayaan kerajaan haram Israel kepada seminari* agama yang pelajarnya enggan menyertai tentera.
Golongan Haredi, yang membentuk kira-kira 13 peratus daripada populasi warga haram Israel berjumlah sekitar 10 juta orang, mendakwa bahawa perkhidmatan ketenteraan mengancam identiti agama serta struktur komuniti mereka kerana kehidupan mereka tertumpu kepada pengajian Talmud. Selain itu, beberapa Rabbi terkemuka dilaporkan menggesa para pengikut supaya menolak pengambilan tentera dan mengoyakkan surat perintah pendaftaran.
Selama beberapa dekad, kebanyakan lelaki ultra-Ortodoks dilaporkan mengelak perkhidmatan ketenteraan melalui penangguhan berulang atas alasan pengajian agama sehingga mencapai umur pengecualian, yang kini ditetapkan pada 26 tahun.
Ahli parlimen pembangkang menuduh Benjamin Netanyahu berusaha meluluskan undang-undang bagi memberikan pengecualian kekal kepada golongan Haredi, bagi memenuhi tuntutan parti ultra-Ortodoks, Shas dan United Torah Judaism, yang meninggalkan gabungan kerajaan tahun lalu namun dijangka kembali menyertainya sekiranya undang-undang tersebut diluluskan.
Kritikan terhadap kerajaan haram pimpinan Netanyahu dilaporkan semakin memuncak berhubung isu pengecualian berkenaan, ketika tentera haram Israel berdepan kekurangan anggota susulan pelbagai konflik serantau, termasuk perang di Gaza yang tercetus pada Oktober 2023, selain ketegangan dan permusuhan dengan negara-negara lain.
Yeshiva= Kolej Yahudi-Ortodoks
Seminari=Sekolah latihan untuk melatih bakal paderi
Sumber: Anadolu Ajansi