
Utusan utama Majlis Keamanan bagi Gaza ketika memberitahu Reuters pada Isnin semalam, beliau agak optimis mengenai pelan berkaitan pelucutan senjata H*M*S dan kumpulan pejuang lain di Gaza boleh dipersetujui, namun memberi amaran bahawa ia masih akan mengambil masa.
“Kami telah mengadakan beberapa siri perbincangan yang serius bersama H*M*S dalam beberapa minggu ini, dan ianya bukan perbincangan yang mudah,” kata Nickolay Mladenov dalam satu temu bual semasa lawatannya ke Brussels.
“Saya agak optimis bahawa satu perjanjian yang memberi manfaat kepada semua pihak dapat dicapai. Yang paling penting, ianya memberi manfaat kepada rakyat di Gaza,” katanya.
Mladenov berkata, gerak kerja sedang dijalankan bagi merangka pelan pelaksanaan yang merangkumi pelucutan senjata, pentadbiran baharu di Gaza, serta peruntukan untuk pengunduran Israel.
“Ia jelas akan mengambil masa, tetapi kami sedang berusaha memastikan bahawa pengaturan pelaksanaan pelan ini dipersetujui secepat mungkin,” kata Mladenov, bekas utusan PBB ke Timur Tengah dan ahli politik Bulgaria.
Apabila ditanya mengenai bila perjanjian pelaksanaan boleh dicapai, Mladenov berkata: “Kami ada beberapa hari, maksimum satu atau dua minggu, itu penilaian saya. Kerana jika tidak, kita akan kehilangan momentum yang ada, dan setiap keputusan akan menjadi lebih sukar selepas itu.”
Meskipun enggan mengulas lanjut butiran rundingan yang sedang berlangsung, beliau berkata beliau percaya adanya kemungkinan positif sedang dibincangkan oleh kedua-dua pihak.
Antara isu yang turut dibincangkan adalah Garisan Kuning yang menandakan kawasan yang diduduki oleh pasukan rejim Israel sejak gencatan senjata Oktober. Difahamkan bahawa pihak rejim telah mengubah dan menggerakkan garisan tersebut lebih jauh ke dalam wilayah Gaza.
Beliau turut menekankan beberapa perubahan yang berlaku di lapangan.
“Beberapa hari kebelakangan ini, kami telah berjaya meningkatkan jumlah individu yang dibenarkan melalui lintasan Rafah, dengan penuh berhati-hati. Kami juga sedang melihat untuk berusaha meningkatkan jumlah bilangan trak barangan bantuan yang masuk ke Gaza,” katanya.
Sambungnya lagi, “Ia adalah proses yang sangat rumit,”. “Kerana ia adalah proses yang melibatkan banyak langkah kecil untuk akhirnya membawa kita kepada persetujuan pelaksanaan penuh pelan tersebut.”
Trump pada Februari lalu berkata, bahawa sekutu Amerika Syarikat telah menyumbang lebih AS$7 bilion untuk usaha bantuan di Gaza dan Amerika Syarikat akan menyumbang AS$10 bilion kepada Majlis Keamanan. Reuters melaporkan bahawa majlis tersebut hanya menerima sebahagian kecil daripada jumlah yang dijanjikan.
“Semua dana yang telah dijanjikan di Washington adalah untuk Majlis Keamanan,” kata Mladenov. “Kami tidak ada sebarang masalah kewangan berkaitan gerak kerja pihak Majlis Keamanan.”
Sumber: Reuters