.png)
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin telah meluluskan satu resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menubuhkan Lembaga Keamanan (Board of Peace) serta memberi kuasa kepada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) untuk menyelia urus tadbir, pembinaan semula dan usaha keselamatan di semenanjung Gaza.
Resolusi tersebut menerima 13 undian menyokong, manakala China dan Rusia berkecuali — tetapi tiada hak veto digunakan.
Berucap sebelum pengundian, utusan AS ke PBB, Mike Waltz berkata kepada UNSC bahawa draf resolusi yang dibentangkan itu adalah pelan berani dan pragmatik berasaskan rancangan 20 perkara Presiden Trump untuk menamatkan konflik Gaza, yang dirumus hasil rundingan diplomatik bersama Qatar, Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Türkiye, Pakistan dan Indonesia.
Beliau berhujah bahawa resolusi tersebut menggariskan kemungkinan laluan ke arah penentuan nasib sendiri rakyat Palestin selepas Pihak Berkuasa Palestin (PA) melaksanakan pembaharuan yang diperlukan, yang dilihat sebagai sebuah harapan bagi menggantikan keganasan dengan perdamaian dan membuka peluang bagi penyelesaian politik pada masa hadapan.
Selepas undian, beliau menyambut baik keputusan itu dan berkata ia merupakan satu lagi langkah penting ke arah menjamin kestabilan Gaza.
“Lembaga Keamanan yang akan dipimpin oleh Presiden Trump, kekal sebagai tonggak utama usaha ini,” katanya, sambil menambah bahawa ISF akan menstabilkan dan mengukuhkan keadaan keselamatan, menyokong usaha pelucutan senjata di Gaza, memusnahkan rangkaian militan, serta menamatkan keupayaan senjata mereka serta memastikan keselamatan penduduk Palestin.
Sementara dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita WAFA, PA berkata rancangan AS itu telah menegaskan penubuhan gencatan senjata yang kekal dan menyeluruh di semenanjung Gaza, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan negara merdeka mereka.
PA, yang berpusat di Ramallah, turut menyatakan kesediaan penuh untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump dan UNSC demi memastikan pelaksanaan resolusi ini dengan cara mengakhiri penderitaan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur.
Hal ini berlaku selepas HAMAS, yang menguasai Gaza mengecam resolusi tersebut. Dalam satu kenyataan sebelum ini, HAMAS menyatakan bahawa resolusi tersebut tidak memenuhi tuntutan rakyat Palestin dan pelantikan pasukan antarabangsa bagi mengawal senjata kumpulan pejuang di Gaza secara tidak langsung menafikan kedudukan berkecuali mereka, sekali gus menempatkan mereka sebagai pihak yang turut terlibat dalam konflik dan cenderung memihak kepada penjajah.
Resolusi tersebut menyatakan bahawa kehadiran Lembaga Keamanan dan ISF yang dibenarkan melalui resolusi ini akan berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027, tertakluk kepada tindakan lanjut UNSC. Sebarang pembaharuan mandat ISF selepas itu hendaklah dilakukan dalam kerjasama penuh dan penyelarasan bersama Mesir, Israel serta negara-negara lain yang terus bekerjasama dengan ISF.
Sumber: Anadolu Agency, Al Jazeera