.png)
Menurut Anadolu Ajansi, United Kingdom (UK) akan menghantar lebih ramai anggota tentera dan sistem pertahanan udara ke Asia Barat bagi membantu sekutunya menghadapi serangan Iran, kata Setiausaha Pertahanan Britain, John Healey pada Selasa.
Dalam lawatan ke negara-negara Teluk, John Healey berkata pasukan tambahan pertahanan udara serta sistem berkaitan akan dihantar ke Arab Saudi, Bahrain dan Kuwait, selain melanjutkan penempatan jet pejuang Typhoon di Qatar, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Britain.
Kenyataan itu menyebut bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha UK dalam pertahanan kolektif sekutu tanpa terlibat secara langsung dalam konflik yang lebih luas. Healey kini sedang melawat Arab Saudi, Qatar dan Bahrain.
“Setiausaha Pertahanan John Healey telah mengadakan perbincangan terperinci mengenai konflik semasa, Selat Hormuz, serta kerjasama lanjut UK-Negara Teluk dalam keselamatan serantau ketika perang memasuki bulan kedua,” menurut kenyataan tersebut.
Semasa melawat anggota Angkatan Tentera UK di pangkalan Dukhan di Qatar, Healey mengesahkan bahawa UK akan melanjutkan penempatan jet Typhoon di negara itu.
“Mesej saya kepada rakan di Teluk ialah: Britain akan membantu mempertahankan ruang udara anda,” katanya.
Di Arab Saudi, beliau turut mengesahkan keputusan UK untuk menempatkan sistem pertahanan udara Sky Sabre di negara tersebut kepada rakan sejawatnya, Putera Khalid bin Salman Al Saud.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pelancar pelbagai peranan ringan (Lightweight Multirole Launcher) UK kini berada di Bahrain, disokong oleh pasukan pakar UK yang akan membantu mengintegrasikan sistem pertahanan udara jarak dekat ke dalam sistem pertahanan Bahrain.
Healey melawat Arab Saudi, Qatar dan Bahrain susulan pengumuman kerajaan UK untuk menempatkan sistem tambahan beserta pasukan sokongan di ketiga-tiga negara tersebut, termasuk di Kuwait.
Secara berasingan, Kementerian Pertahanan Britain dalam kemas kini hariannya memaklumkan bahawa jet Tentera Udara Diraja UK (RAF) yang beroperasi di kawasan berisiko tinggi berjaya menembak jatuh beberapa dron Iran dalam tempoh semalaman.
Rantau tersebut berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan haram Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari, yang telah mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran pula membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban jiwa, kerosakan infrastruktur serta gangguan kepada pasaran global dan penerbangan.
Sumber: Middle East Monitor