
Kapal bantuan Umm Al Emarat telah belayar menuju semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan dan bantuan berterusan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menyokong rakyat Palestin, bersempena ketibaan bulan Ramadan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada rangka kerja kemanusiaan UAE yang bertujuan meringankan penderitaan orang awam serta memenuhi keperluan asas penduduk di sana.
Sebanyak 16 organisasi kebajikan dan kemanusiaan dari seluruh UAE telah menyumbang kepada penyediaan muatan kapal berkenaan, dengan jumlah keseluruhan melebihi 7,300 tan pelbagai bekalan bantuan.
Sumbangan itu merangkumi barangan makanan, keperluan tempat perlindungan serta bekalan perubatan bagi menyokong keselamatan makanan dan memperkukuh respons kemanusiaan segera terhadap keperluan keluarga yang terjejas di Gaza.
Bantuan makanan merangkumi pek makanan, bekalan untuk menyokong dapur komuniti serta buah kurma. Bantuan perlindungan pula termasuk pakaian Hari Raya Aidilfitri, kit bantuan, khemah dan keperluan asas rumah.
Semuanya bertujuan memastikan kehidupan yang terjamin bagi keluarga terjejas.
Kapal bantuan Umm Al Emarat, iaitu kapal ke-13 yang dihantar oleh UAE ke Gaza merupakan sebahagian daripada bantuan kemanusiaan maritim yang berterusan untuk menyokong rakyat Palestin dan mencerminkan komitmen berterusan UAE dalam menangani keperluan kemanusiaan pada tempoh kritikal ini.
Dari aspek perubatan, kapal itu membawa pelbagai peralatan dan bekalan perubatan termasuk alat bantuan pernafasan, meja dan katil perubatan, kerusi perubatan, pelitup muka serta peranti penapis udara (air purifier) bagi menyokong sektor penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti kemudahan perubatan dalam menangani keperluan mendesak ini.
Sumber: BERNAMA, WAM