Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan bahawa Turkiye telah memutuskan semua hubungan dengan Israel. Beliau mengumumkan berita itu ketika sidang akhbar sekembalinya dari dua lawatan diplomatik: Sidang Kemuncak Arab-Islam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab di Arab Saudi, serta Sidang Kemuncak Iklim COP29 di Azerbaijan pada Rabu.
“Kerajaan Republik Turkiye di bawah pimpinan Tayyip Erdogan tidak akan meneruskan atau membangunkan hubungan dengan Israel,” katanya.
"Gabungan pemerintah kami bertegas dengan keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan Israel dan kami akan berpegang dengan pendirian ini pada masa hadapan."
Menurut agensi berita Turkiye, Anadolu Ajansi, Erdogan menyatakan,
"Selagi penghantaran senjata diteruskan, Israel akan menjadi lebih agresif kerana setiap hari Israel tidak berhenti dan keadaan di Palestin, Lubnan semakin meruncing.”
Salah satu langkah konkrit yang boleh diambil untuk menentang serangan Israel ialah memperjuangkan pengiktirafan negara Palestin. Erdogan juga menambah,
“Tanpa penyelesaian dua negara, keamanan dan kestabilan tidak akan tercapai di rantau ini."
Walaupun telah mengenakan sekatan perdagangan terhadap Israel pada bulan Mei, Ankara masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan negara tersebut. Meskipun tahun lalu kerajaan Turkiye secara rasmi memanggil pulang duta mereka untuk rundingan, misi diplomatik Turkiye di Tel Aviv masih dibuka dan beroperasi.Israel juga telah mengosongkan bangunan kedutaannya di Ankara pada tahun lepas dengan alasan ancaman keselamatan serantau.
Pada masa yang sama, Erdogan turut menegaskan bahawa Turkiye akan melakukan segala usaha untuk memastikan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertanggungjawab atas tindakannya di Gaza.
Awal tahun ini, Turkiye turut campur tangan dalam kes genosid yang dilancarkan Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyokong Palestin dan mengesyorkan embargo senjata terhadap Tel Aviv.
Erdogan menyatakan bahawa 52 buah negara dan dua buah organisasi antarabangsa menyatakan sokongan mereka terhadap inisiatif embargo senjata yang dilancarkan Turkiye di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada awal November bagi tujuan untuk menghalang penghantaran senjata dan peluru kepada entiti tersebut.
“Baru-baru ini kami menyerahkan surat rasmi mengenai inisiatif ini kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB dan Setiausaha Agung PBB,” kata Erdogan.
“Semasa sidang kemuncak kami di Riyadh, satu keputusan telah dibuat untuk menjemput semua organisasi dan ahli Liga Arab untuk menandatangani surat ini.”
Sumber: Middle East Eye, Anadolu Ajansi, Roya News