
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata dia membuat jangkaan akan mencapai persetujuan dengan Iran untuk melanjutkan gencatan senjata dan membuka semula Selat Hormuz dalam minggu hadapan.
Dalam temu bual telefon bersama ABC News pada Isnin, Trump menyifatkan perkembangan itu sebagai positif, namun mengakui terdapat sedikit gangguan pada hari yang sama. Menurutnya, gangguan itu berpunca daripada kemarahan Iran terhadap serangan Zionis ke atas Lubnan.
“Saya telah bercakap dengan Hizbullah dan meminta mereka menghentikan serangan. Saya juga bercakap dengan Bibi (Benjamin Netanyahu) dan menyampaikan perkara yang sama. Selepas itu, kedua-dua pihak menghentikan serangan antara satu sama lain,” katanya.Trump turut menyifatkan perjanjian damai dengan Iran sebagai sesuatu yang mungkin lebih baik daripada kemenangan ketenteraan, sambil menegaskan bahawa rundingan itu bukan perkara mudah kerana melibatkan permusuhan yang sangat mendalam.
Dia berkata perjanjian lanjutan gencatan senjata dan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membuka semula Selat Hormuz dijangka dapat dimuktamadkan dalam minggu hadapan, namun menambah bahawa dirinya masih belum bersetuju sepenuhnya kerana masih perlu mendapat keputusan berkenaan beberapa perkara lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Utusan AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz berkata Trump telah mencadangkan satu urutan yang jelas untuk menamatkan pertempuran antara Zionis dan Hizbullah.
Bercakap di Majlis Keselamatan PBB, Waltz berkata langkah pertama ialah Hizbullah perlu menghentikan serangannya ke atas negara haram Israel. Menurutnya, tindakan itu akan membuka jalan kepada penurunan ketegangan secara beransur-ansur dan akhirnya membawa kepada penamatan permusuhan.
Sumber: Anadolu Ajansi, Al Jazeera