
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata AS akan menyekat mana-mana kapal yang cuba masuk atau keluar dari Selat Hormuz selepas rundingan pada Sabtu dengan Iran di ibu negara Pakistan, Islamabad gagal menghasilkan perjanjian untuk menamatkan konflik berminggu-minggu di Asia Barat.
“Sekatan ini akan bermula tidak lama lagi. Negara-negara lain akan turut terlibat dalam sekatan ini. Iran tidak akan dibenarkan meraih keuntungan daripada tindakan pemerasan haram ini,” kata Trump di platform Truth Social. Sejak tercetusnya perang, Iran telah mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas.
Presiden AS itu juga berkata dia telah mengarahkan Tentera Laut AS untuk mengesan dan memintas setiap kapal di perairan antarabangsa yang telah membayar tol kepada Iran.
Dalam rundingan yang berlangsung di Islamabad, Trump mendakwa Iran enggan melepaskan cita-cita nuklearnya, sambil menambah bahawa dia telah menerima taklimat penuh mengenai rundingan tersebut daripada Naib Presiden AS; JD Vance, Utusan Khas AS; Steve Witkoff, serta menantunya dan penasihatnya, Jared Kushner.
“Dalam banyak hal, perkara yang dipersetujui adalah lebih baik daripada kita meneruskan operasi ketenteraan hingga selesai, tetapi semua perkara itu tidak bermakna jika kuasa nuklear berada di tangan pihak yang tidak stabil, sukar dan tidak dapat diramal,” katanya.
Trump juga berkata usaha untuk membersihkan periuk api di Selat Hormuz akan dimulakan, sambil memberi amaran bahawa mana-mana pihak Iran yang melepaskan tembakan ke arah kami atau kapal awam akan dimusnahkan sepenuhnya.
“Angkatan laut mereka sudah tiada, tentera udara mereka sudah tiada, sistem pertahanan udara dan radar mereka tidak berfungsi, Khomeini serta kebanyakan pemimpin mereka telah terbunuh, semuanya kerana cita-cita nuklear mereka,” katanya.
“Mereka mahukan wang dan yang lebih penting, mereka mahukan nuklear. Tambahan pula, pada masa yang sesuai, kami sudah bersiap sedia sepenuhnya dan tentera kami akan menyelesaikan apa yang masih berbaki terhadap Iran!”
Sumber: Anadolu Ajansi