Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pentadbirannya akan menghantar lebih banyak senjata ke Ukraine selepas keputusan awal untuk menghentikan sebahagian penghantaran senjata menerima kecaman daripada Kyiv dan para penyokongnya.
Bercakap kepada wartawan sebelum menghadiri majlis makan malam bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Washington, DC pada hari Isnin, Trump berkata penghantaran baharu itu akan terdiri terutamanya daripada senjata pertahanan.
“Kita akan hantar lebih banyak senjata. Kita mesti lakukan begitu. Mereka perlu mempertahankan diri, mereka sedang diserang hebat sekarang.” Kata Trump.
Janji Trump itu dibuat selepas Rusia mengumumkan pada hari Isnin bahawa mereka telah menawan kampung Dachne di Dnipropetrovsk, Ukraine selepas beberapa bulan melakukan serangan untuk merampas wilayah di kawasan tengah negara itu.
Keputusan ini juga diambil selepas Pentagon minggu lalu mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan penghantaran beberapa jenis senjata termasuk peluru berpandu pertahanan udara dan artileri berpanduan tepat kerana bimbang stok simpanan semakin berkurangan.
Selepas satu panggilan telefon dengan Trump pada hari Jumaat, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata beliau telah bersetuju dengan rakan sejawatannya dari AS untuk bekerjasama memperkukuh pertahanan udara Ukraine.
“Kami berbincang mengenai peluang dalam pertahanan udara dan bersetuju untuk bekerjasama memperkukuh perlindungan ruang udara kami,” kata Zelenskyy dalam satu hantaran di X.
Trump pada hari Jumaat menyifatkan panggilan itu sebagai “sangat baik” dan berkata pentadbirannya sedang “menimbangkan” untuk menjual lebih banyak peluru berpandu Patriot kepada Kyiv.
“Mereka memerlukannya untuk pertahanan. Saya tidak mahu melihat orang terbunuh,” kata Trump kepada wartawan di Air Force One.
Trump turut menambah: “Putin tidak menjaga hak asasi manusia. Dia bunuh terlalu ramai orang jadi kami akan hantar senjata pertahanan diri kepada Trump.”
Sumber: Al-Jazeera, Anadolu Ajansi