
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mengulangi ancaman terhadap Iran ketika rundingan antara kedua-dua negara terus menemui jalan buntu.
Dalam hantaran di platform Truth Social pada Ahad, Trump memberi amaran bahawa masa semakin suntuk sebelum kemungkinan tindakan ketenteraan baharu dilancarkan terhadap Iran.
Kenyataan tersebut menambah kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Asia Barat ketika usaha diplomatik masih gagal mencapai penyelesaian.
Iran kini berdepan masa yang semakin suntuk dan perlu bertindak segera. Atau tiada apa lagi yang akan tinggal di negara itu,” tulis Trump dalam mesej ringkas dua ayat tersebut.
Hantaran itu merupakan contoh terbaharu penggunaan retorik berbaur ancaman oleh Trump terhadap Iran ketika pentadbirannya bergelut untuk mencapai matlamat dalam peperangan tersebut.
Sehari sebelum itu, Trump turut memuat naik imej janaan Kecerdasan Buatan (AI) yang memaparkan dirinya berada di atas sebuah kapal tentera dengan kapsyen, “Ini merupakan ketenangan sebelum ribut.”
Konflik antara AS dengan Iran bermula pada 28 Februari, apabila Israel dan sekutunya, AS bersama-sama menyerang Iran.Sejak itu, Trump telah mengemukakan pelbagai objektif untuk perang tersebut, termasuk melumpuhkan program peluru berpandu Iran, memutuskan hubungannya dengan sekutu serantau serta menamatkan program pengayaan nuklearnya.
Pada 7 April, Trump menyertakan tuntutan tersebut bersama satu hantaran media sosial yang membayangkan kemusnahan menyeluruh di Iran. Pengkritik menyamakan hantaran itu dengan seruan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.
"Seluruh tamadun akan mati malam ini dan tidak akan dikembalikan lagi. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi ia mungkin akan berlaku," tulis Trump lagi.
Dalam tempoh beberapa jam selepas hantaran itu, AS dan Iran mencapai satu gencatan senjata yang kekal berkuat kuasa sejak itu, walaupun kedua-dua pihak saling menuduh melakukan pelanggaran.
Sumber : Al jazeera News