Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi gambaran bahawa beliau tidak akan menghalang sebarang rancangan rejim Israel untuk menjajah sepenuhnya semenanjung Gaza.


Ketika ditanya pada Selasa mengenai laporan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memutuskan untuk menawan seluruh wilayah Palestin itu, Trump berkata fokus utamanya adalah memastikan rakyat Gaza mendapat makanan.

“Bagi hal selebihnya, saya tidak boleh nak komen. Itu terserah kepada Israel,” kata Trump kepada wartawan.

AS memberikan bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar setiap tahun kepada Israel dan jumlah bantuan itu meningkat dengan ketara sejak permulaan perang Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Sepanjang perang, Israel telah mengeluarkan arahan pemindahan paksa yang menyekat rakyat Palestin ke kawasan yang semakin kecil, menjadikan 86 peratus wilayah Gaza sebagai zon ketenteraan. Namun, perluasan operasi ketenteraan ke bahagian Gaza yang masih dihuni akan menambah risiko terhadap nyawa rakyat Palestin yang sudah pun berdepan serangan udara harian dan kebuluran akibat sekatan Israel.

Laporan tentang rancangan Netanyahu untuk menawan sepenuhnya Gaza turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan baki tawanan Israel yang masih ditahan oleh HAMAS dan pasukan mujahidin Palestin lain.

Pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Miroslav Jenca memberi amaran pada Selasa bahawa pendudukan penuh ke atas Gaza akan membawa akibat yang amat dahsyat.

“Undang-undang antarabangsa jelas dalam hal ini. Gaza adalah dan mesti kekal sebagai sebahagian daripada negara Palestin masa depan,” kata Jenca dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Israel pernah menarik keluar tentera dan penempatan haramnya dari Gaza pada tahun 2005, namun pakar undang-undang menyatakan bahawa wilayah itu masih secara teknikal dianggap dijajah kerana Israel masih mengawal ruang udara, perairan dan pintu masuk Gaza.

Netanyahu sebelum ini turut membayangkan bahawa Israel berhasrat untuk mengusir seluruh penduduk Palestin dari Gaza, satu tindakan yang bersamaan dengan pembersihan etnik dan Trump sendiri pernah menyokong idea itu pada Februari lalu apabila mencadangkan supaya Gaza dikosongkan untuk dibangunkan sebagai Riviera of the Middle East.

Laporan terkini mengenai rancangan Israel untuk memperluaskan serangan darat ke seluruh Gaza muncul di tengah-tengah kemarahan antarabangsa terhadap krisis kebuluran yang semakin memburuk.

Israel telah menyekat hampir semua bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza sejak Mac lalu, menjadikan tapak agihan bantuan anjuran Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong oleh AS dan Israel sebagai satu-satunya tempat rakyat Palestin boleh mendapatkan makanan.

Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 7, 2025