Dalam sebuah kenyataan pada Khamis, HAMAS memberitahu bahawa ugutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap penduduk Palestin telah mendorong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk melanggar perjanjian gencatan senjata dan meningkatkan lagi tekanan pengepungan di Gaza.
Pada Khamis, Trump mengeluarkan satu kenyataan melalui media sosial yang menggesa HAMAS untuk segera membebaskan tawanan, termasuk mereka yang sudah meninggal atau jika tidak,
"ia PENAMAT untuk kamu."
Ugutan Trump itu serentak pada hari yang sama khabar berkenaan perbincangan rahsia antara HAMAS dan Trump diadakan tular. Difahamkan, perbincangan itu merupakan kali pertama sejak 1997 selepas HAMAS disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Washington.
Jurucakap HAMAS, Abdel-Latif Al-Qanoua melalui respons bertulis kepada media Reuters memberitahu:
"Ugutan Trump ke atas penduduk kami berkali-kali mendorong Netanyahu untuk mencabul perjanjian dan mengetatkan pengepungan, termasuk mengeruhkan lagi keadaan kebuluran rakyat kami. Langkah terbaik untuk membebaskan baki tawanan Israel adalah dengan meneruskan fasa kedua dan memaksa Israel untuk mematuhi perjanjian yang diusahakan oleh pihak pengantara."
Sebelum kenyataan pada Khamis, Trump juga mengugut HAMAS pada hari sebelumnya, mendesak organisasi pejuang Palestin itu segera membebaskan tawanan Israel dan mereka akan dibayar dengan NERAKA jika tidak berbuat demikian.
Sumber: MEMO, Reuters