Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa pasukan tentera AS akan meninggalkan Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, sekali gus memberi isyarat berakhirnya serangan berterusan terhadap negara itu.


“Apa yang perlu saya lakukan hanyalah keluar dari Iran dan kami akan melakukannya tidak lama lagi, mungkin dalam dua atau tiga minggu” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.


“Dan jika Perancis atau mana-mana negara lain mahu mendapatkan minyak atau gas, mereka akan melalui Selat Hormuz,” katanya. “Mereka akan mampu melindungi diri mereka sendiri. Saya rasa ia akan menjadi sangat selamat sebenarnya, tetapi kami tiada kaitan dengan itu.”


AS dan negara haram Israel telah melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, mengorbankan lebih 1,340 orang setakat ini, menurut pihak berkuasa Iran.


Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara haram Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS. 


Sekurang-kurangnya 13 anggota tentera AS terbunuh sejak perang bermula, menurut angka rasmi AS, manakala konflik itu turut meningkatkan harga tenaga dan menjejaskan perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan penting minyak global yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dunia.


Trump berkata bahawa AS mungkin menghentikan serangan terhadap Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu dan menegaskan bahawa perjanjian tidak diperlukan untuk menamatkan perang yang telah mengganggu bekalan tenaga serta menggoncang ekonomi global.


Kenyataan itu dibuat ketika Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memberitahu Al Jazeera bahawa tiada rundingan sedang berlangsung dengan Washington, walaupun terdapat pertukaran mesej secara langsung dan tidak langsung selepas hampir lima minggu selepas AS dan Israel memulakan serangan ke atas Iran.


Trump yang sebelum ini mendakwa Iran sedang berunding dan ‘merayu’ untuk perjanjian, dilihat mengubah pendiriannya pada Selasa.


“Iran tidak perlu membuat perjanjian,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih apabila ditanya sama ada diplomasi diperlukan untuk menamatkan konflik. Dia menambah bahawa AS akan beredar tidak lama lagi.


“Apabila kami merasakan mereka telah dihancurkan untuk tempoh yang lama dan tidak mampu menghasilkan senjata nuklear, maka kami akan keluar,” katanya.


Sumber: Al Jazeera, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
April 1, 2026