.png)
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengancam Iran dengan tindakan ketenteraan yang belum pernah berlaku sebelum ini jika negara itu benar-benar telah meletakkan periuk api di Selat Hormuz dan gagal mengalihkannya, lapor Anadolu.
“Jika atas apa-apa sebab periuk api telah dipasang dan tidak segera dialihkan, maka Iran akan berdepan akibat ketenteraan pada tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
Trump menambah bahawa pengalihan periuk api tersebut akan menjadi satu langkah penting ke arah penyelesaian yang betul.
Namun Trump juga menyatakan bahawa AS tidak mempunyai laporan bahawa Tehran benar-benar telah meletakkan periuk api di laluan perairan itu.
Amaran tersebut dibuat selepas laporan CNN yang menyatakan bahawa Iran telah mula meletakkan periuk api di selat tersebut. Sumber memberitahu saluran berita itu bahawa setakat ini hanya beberapa puluh periuk api telah dipasang, tetapi Iran masih memiliki sehingga 90 peratus bot kecil dan kapal peletak periuk api yang masih utuh, membolehkannya menempatkan ratusan lagi.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan tenaga paling penting di dunia, dengan kira-kira 20 juta tong minyak melalui selat itu setiap hari. Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) sebelum ini mengumumkan penutupan selat tersebut untuk laluan kapal selepas bermulanya serangan AS dan Zionis ke atas Iran pada 28 Februari, yang menyebabkan harga minyak melonjak dan mencetuskan kebimbangan tentang gangguan tenaga global yang berpanjangan.
Ketegangan di Asia Barat memuncak sejak Zionis dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang telah mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Sekurang-kurangnya lapan anggota tentera AS turut terbunuh sejak kempen ketenteraan itu bermula.
Sumber: Anadolu Ajansi