
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk menyerang infrastruktur awam di Iran termasuk jambatan dan loji janakuasa, jika Selat Hormuz tidak dibuka semula menjelang tarikh akhir yang ditetapkannya pada hari Isnin.
Trump memberi amaran bahawa hari Selasa ini akan menjadi ‘Hari Loji Janakuasa dan Hari Jambatan’ dalam perang berterusan antara AS-Israel dengan Iran, sambil menambah bahawa Tehran mesti membuka Selat Hormuz.
“Selasa akan menjadi ‘Hari Loji Janakuasa’ dan ‘Hari Jambatan’ di Iran, semuanya serentak. Tiada apa yang seumpamanya akan berlaku. Buka selat itu segera, atau kamu akan berdepan akibat yang dahsyat – tunggu sahaja. Segala puji bagi Allah,” kata Donald Trump dalam hantaran di Truth Social.
Pada 26 Mac, Trump menetapkan tempoh 10 hari untuk Iran membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi pasaran tenaga global yang kini terhenti sejak AS dan rejim haram Israel melancarkan serangan pertama ke atas Iran pada 28 Februari.
Iran menyifatkan kenyataan Trump sebagai ancaman terbuka untuk memusnahkan kemudahan penting bagi kelangsungan hidup rakyat awam.
“Komuniti antarabangsa dan semua negara mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menghalang perbuatan kejam yang boleh dianggap sebagai jenayah perang. Mereka mesti bertindak sekarang. Esok sudah terlambat,” tambahnya.
Timbalan Komunikasi Pejabat Presiden Iran, Seyyed Mehdi Tabatabaei turut menyatakan bahawa selat itu hanya akan dibuka semula selepas pampasan dibayar atas kerosakan akibat perang.
Beliau berkata bayaran tersebut akan berbentuk caj transit di bawah rejim undang-undang baharu berkaitan selat itu, selaras dengan kenyataan sebelum ini bahawa Iran mungkin akan mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui selat tersebut walaupun selepas perang berakhir.
Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan rejim haram Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari hingga mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Sumber: Anadolu Ajansi, Al Jazeera, Buletin TV3