Seorang pakar bedah British yang bekerja selama sebulan di Gaza melaporkan bahawa beliau melihat beberapa kanak-kanak mengalami kecederaan di kepala selepas mereka menjadi sasaran oleh penembak tepat Israel.
Di dalam sebuah sesi Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa di Dewan Rakyat Britain mengenai situasi kemanusiaan di Gaza, Mamode memberitahu:
"Tidak kira siapa pun anda di Gaza, jika anda rakyat Palestin, anda adalah sasaran mereka."
Mamode berkhidmat di Hospital Nasser di Gaza dari pertengahan Ogos sehingga pertengahan September. Beliau berkata seramai 60% hingga 70% daripada pesakit yang mereka rawat di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.
"Kami melihat beberapa orang kanak-kanak mengalami kecederaan tembakan di kepala. Tiada kecederaan lain. Jadi sangat jelas di sini mereka (rejim Zionis) sengaja menyasarkan kanak-kanak Gaza setiap hari."
Mamode yang pernah bekerja di beberapa zon konflik berbahaya turut menekankan bahawa dia tidak pernah melihat krisis di negara lain seperti dilihatnya di Gaza.
"Saya pernah berada di Rwanda ketika berlakunya pembunuhan beramai-ramai di sana. Sejujurnya, saya tidak pernah melihat krisis kemanusiaan seteruk ini. Tidak pernah."
"Saya tidak pernah berada di kawasan konflik di mana bantuan perubatan telah dihadkan. Mereka (rejim Zionis) tidak membenarkan bekalan masuk, mengebom hospital, menyerang ambulans dan membunuh pekerja kesihatan. Jika semua itu tidak berlaku, maka berpuluh-puluh ribu nyawa dapat diselamatkan."
Mamode berkata bahawa mana-mana tentera yang terlibat dalam peperangan mempunyai tanggungjawab kepada penduduk awam di kedua-dua belah pihak, tetapi sebalik berlaku di Semenanjung Gaza.
Sumber: Anadolu Ajans