
Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem pada Isnin lalu menyatakan bahawa tiada gencatan senjata yang berlaku di Lubnan, sebaliknya menegaskan bahawa pencerobohan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) masih berterusan.
Dalam satu kenyataan panjang, Qassem mengecam serangan berterusan rejim Israel di selatan Lubnan, sambil mendakwa serangan tersebut sengaja menyasarkan orang awam, kampung-kampung, rumah-rumah penduduk serta infrastruktur yang ada. Beliau mendakwa operasi pihak rejim bertujuan untuk menguasai tanah dan masa depan Lubnan melalui kekuatan, sementara Hizbullah pula melihat peranannya adalah untuk membebaskan tanah daripada penjajahan dan menegakkan keadilan.
Qassem menyifatkan keadaan serantau ketika ini sebagai fasa berbahaya dalam sejarah, sambil menuduh rejim Israel melaksanakan pencerobohan dengan sokongan langsung daripada AS serta sekutunya. Walaupun berdepan kekangan sumber, beliau memuji pejuang dan penyokong Hizbullah yang menurutnya terus melaksanakan operasi penentangan dan menghalang rejim Israel daripada mencapai objektifnya.
Qassem turut mendakwa Lubnan telah melaksanakan tanggungjawab di bawah perjanjian gencatan senjata 27 November 2024, termasuk penempatan tentera Lubnan di selatan Sungai Litani. Namun, beliau mendakwa pihak rejim tidak melaksanakan walau satu langkah pun dalam perjanjian tersebut dan melanggarnya lebih daripada sepuluh ribu kali.
Beliau juga melaporkan bahawa pihak rejim telah membunuh ratusan orang awam, mencederakan ramai yang lain, memusnahkan rumah serta memaksa warga penduduk berpindah dari kampung-kampung di bahagian selatan. Qassem turut menolak sebarang usaha mewujudkan garisan kuning atau zon penampan di selatan Lubnan, dengan menegaskan, “Tiada garisan kuning atau zon penampan. Ianya tidak akan wujud.”
Sementara itu dari aspek diplomasi, Qassem menegaskan bahawa Hizbullah hanya menyokong mana-mana rundingan yang membawa kepada penghentian serangan rejim Israel dan pelaksanaan perjanjian sedia ada sahaja. Beliau menyokong rundingan tidak langsung seperti rundingan sempadan maritim, namun menolak rundingan langsung dengan pihak rejim, yang menurutnya hanya memberi keuntungan politik tanpa hasil yang jelas.
Qassem turut menyenaraikan empat faktor yang menurutnya penting bagi fasa seterusnya iaitu kesinambungan penentangan, persefahaman dalaman Lubnan, manfaat daripada sebarang persetujuan Iran-AS, serta tekanan antarabangsa atau serantau ke atas rejim Israel.
Beliau menegaskan bahawa penyelesaian bukanlah penyerahan, sambil menolak sebarang penyusunan politik yang melemahkan Lubnan di bawah tekanan luar. Beliau menutup kenyataan tersebut dengan memuji kumpulan pejuang penentangan, warga yang terpaksa berpindah, penyokong, petugas perubatan serta pelbagai pihak yang membantu selatan Lubnan sepanjang konflik.
Sumber: The Palestine Chronicle