Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Tentera Zionis menembak seorang rakyat Palestin awal pagi Isnin berhampiran al-Khalil (Hebron) di selatan Tebing Barat, lapor agensi berita Palestin, WAFA.

Tentera penjajah melepaskan tembakan ke arah Ramzi Abdel Hakim al-Awawda berhampiran persimpangan kampung Kharsa di barat daya al-Khalil, menyebabkan beliau mengalami pendarahan. Lebih mengeruhkan lagi keadaan apabila pihak tentera rejim menghalang pasukan perubatan daripada menghampirinya. Mereka turut merampas kunci ambulans dan kemudian menahan jenazah mangsa.

Dalam insiden berasingan, penjajah haram Israel membakar dua kenderaan dan mencuri ternakan milik penduduk Palestin awal pagi Isnin di selatan Tebing Barat. Penjajah menyasarkan kawasan al-Rahwa di bandar Sa'ir, timur laut al-Khalil dengan membakar dua kenderaan dan mencuri kira-kira 25 ekor biri-biri, kata saksi. Mereka turut menconteng slogan berunsur perkauman dalam bahasa Ibrani pada rumah-rumah sebelum meninggalkan kawasan itu.

Bukan sahaja itu, rejim penjajah menyerang rumah-rumah rakyat Palestin di kawasan al-Minya, menulis slogan serupa dan cuba membakar kenderaan sebelum dihalang oleh penduduk.

Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penjajahan Palestin berkata penjajah telah melancarkan sebanyak 443 serangan sejak tercetusnya perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran pada 28 Februari, dengan mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan negara haram untuk meningkatkan serangan terhadap komuniti Palestin.

Serangan Zionis di Tebing Barat berterusan sejak 7 Oktober 2023, yang telah mengorbankan 1,139 rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 11,700 yang lain, selain menyaksikan sekitar 22,000 tangkapan dilakukan.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
March 30, 2026