Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut laporan The Times, tentera British didakwa secara rahsia mengupah sebuah syarikat persendirian dari Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan pemantauan udara di Gaza bagi mengesan tentera Israel yang ditawan.


Disebabkan kekurangan pesawat peninjau Tentera Udara Diraja (RAF) yang tersedia, Kementerian Pertahanan Britain (MoD) telah menggunakan khidmat sebuah syarikat berpangkalan di Nevada, iaitu Straight Flight Nevada Commercial Leasing LLC, anak syarikat kepada Sierra Nevada Corporation, antara kontraktor ketenteraan terbesar di AS.


Pesawat yang digunakan, sebuah Boeing Beech King Air 350i bernombor pendaftaran N6147U, dikesan terbang di ruang udara selatan Gaza pada 28 Julai lalu. Kehadirannya terbongkar secara tidak sengaja selepas krew gagal mematikan transponder, sekali gus mendedahkan laluannya di sekitar Khan Yunis dan menimbulkan persoalan mengenai peranan Britain dalam menyokong operasi Israel.

Dua sumber pertahanan United Kingdom (UK) mengesahkan bahawa kerajaan British membayar kos operasi pesawat dan misinya. Pesawat itu dimiliki dan dikendalikan oleh kontraktor, bermakna tiada juruterbang British terlibat secara langsung. MoD enggan mendedahkan kos sebenar atau tempoh kontrak tersebut.

Sumber juga memaklumkan bahawa armada pesawat Shadow R1 milik MoD yang sebelum ini digunakan di Gaza kini sama ada sedang diselenggara atau terlibat dalam misi lain. Seorang sumber menyifatkan tindakan ini sebagai satu bentuk penswastaan perisikan ketenteraan dan menggelarnya sebagai sesuatu yang mengejutkan.

“Ini merupakan satu bentuk sokongan kepada Israel. Bukannya menghantar isyarat bahawa kita sedang berundur, kita sebenarnya mengupah kontraktor Amerika untuk meneruskan operasi itu,” kata seorang pegawai kanan tentera British.

Antara Disember 2023 hingga Julai 2025, armada Shadow RAF dilaporkan telah menjalankan lebih 600 penerbangan risikan ke atas Gaza. Maklumat perisikan yang dikumpul sepanjang misi tersebut dikongsi bersama Israel, kononnya bagi membantu mengesan keberadaan tentera Israel yang ditawan.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
August 7, 2025