.png)
Tentera laut rejim Israel telah memintas beberapa kapal Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus pada Isnin. Kapal-kapal tersebut sedang dalam misi untuk mencabar sekatan laut ke atas Gaza dan juga bertujuan menarik perhatian dunia terhadap keadaan hidup rakyat Palestin yang semakin meruncing di wilayah itu. Wilayah tersebut kini dilaporkan musnah akibat perang yang berpanjangan.
Siaran langsung aktivis menunjukkan mereka memakai jaket keselamatan dan mengangkat tangan ketika sebuah bot tentera Israel menghampiri mereka. Apabila tentera Israel menaiki kapal tersebut, siaran langsung itu terputus secara tiba-tiba.
Rakaman lain menunjukkan tentera rejim Israel menaiki bot tentera berkelajuan tinggi (RIB) sambil mengarahkan para aktivis bergerak ke bahagian hadapan kapal. Setakat jam 9 pagi (waktu Malaysia) sekurang-kurangnya 36 kapal telah dipintas dalam operasi tersebut.
Pintasan itu berlaku jauh di luar perairan wilayah Cyprus yang meliputi sejauh 22 kilometer dari garis pantai pulau tersebut. Ia berlaku kira-kira 167 kilometer dari pesisir pantai, menurut pusat kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap operasi
mencari dan menyelamat (SAR) negara itu.
Pusat tersebut mendakwa bahawa mereka tidak menerima sebarang panggilan kecemasan dari kawasan berkenaan ekoran gangguan signal radio yang dilakukan oleh tentera rejim ke atas flotila tersebut. Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides turut menyatakan bahawa Israel tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa Cyprus mengenai hasrat mereka untuk memintas flotila tersebut.
Penganjur berkata kapal-kapal itu dipintas kira-kira 250 batu nautika atau 463 kilometer dari pantai Gaza. Tidak seperti pintasan sebelum ini yang kebanyakannya dilakukan pada waktu malam, tentera Israel kali ini menaiki kapal-kapal tersebut pada waktu siang.
Memetik satu laporan daripada The Cradle Media dan New York Post turut melaporkan bahawa Perdana Menteri Wilayah haram IsraeI, Benjamin Netanyahu turut sama ‘turun padang’ ke Pusat Operasi Ketenteraan Kirya, Tel Aviv untuk memantau gerak kerja tentera rejim dalam operasi tersebut, meskipun sepatutnya dia perlu menghadirkan diri ke mahkamah untuk sebutan kes salah laku rasuah yang didakwa keatas dirinya.
Dalam pada itu, Itali memaklumkan bahawa Menteri Luarnya, Antonio Tajani telah berulang kali meminta jaminan daripada kerajaan Israel mengenai keselamatan dan kebajikan aktivis Itali yang ditahan di atas flotila tersebut. Menteri Luar Sepanyol, José Manuel Albares berkata beliau telah memanggil wakil diplomatik Israel di Madrid pada Isnin berhubung apa yang disifatkannya sebagai satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa, yang berlaku 15 hari selepas insiden pemintasan terdahulu. Beliau menganggarkan terdapat sekitar 45 rakyat Sepanyol menyertai flotila tersebut dan kira-kira 20 orang kini ditahan.
Sumber: The Cradle Post, New York Post, LMT Online, Yeni Safak English