Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Daniel Edri, tentera Israel berusia 24 tahun dari Safad, dilaporkan membakar dirinya semalam di bandar Palestin yang dijajah itu. Mayatnya yang rentung ditemui di dalam keretanya di sebuah hutan berhampiran Safad. Dia pernah bertugas di semenanjung Gaza dan Lebanon semasa perkhidmatannya.


Menurut ibunya, “Dia beritahu saya dia telah melihat pelbagai kengerian. Dia sering terhidu bau mayat terbakar dan nampak mereka di mana-mana.”


Menurut Media Israel, tentera tersebut mengalami Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD) yang serius selepas penglibatannya dalam genosid di Gaza dan perang di Lebanon. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Edri memaklumkan kepada pakar perubatan bahawa dia bergelut dengan pemikiran untuk membunuh diri dan mengalami kemerosotan kesihatan mental yang ketara selepas kematian dua rakannya pada 7 Oktober 2023.

Menurut adiknya, selepas kematian dua rakannya, Edri bertekad untuk menyertai pasukan simpanan dan menyertai operasi ketenteraan di Gaza. Dia berkhidmat di Gaza dan Lebanon sehingga menamatkan perkhidmatannya pada akhir November 2024.

Menurut adiknya, dia mengalami ledakan amarah yang ganas sehingga merosakkan rumah ibu mereka. Dia pernah berkata kepada rakannya, “Dengar sini saudara, aku dah tak tahan. Aku berbahaya. Aku rasa macam bom jangka.”


Keluarganya memohon agar dia diberikan pengebumian tentera dan dikebumikan di tanah perkuburan tentera. Namun setakat ini, Kementerian Pertahanan menolak permohonan itu kerana dia tidak tergolong dalam anggota pasukan simpanan yang aktif semasa saat kematiannya.

Sejak genosid bermula, tentera Israel melaporkan sekurang-kurangnya 40 anggota tentera aktif yang kebanyakannya ialah anggota simpanan, telah membunuh diri. Tiada organisasi rasmi yang menjejak kadar bunuh diri dalam kalangan tentera yang telah tamat perkhidmatan, tetapi pemantauan media menunjukkan sekurang-kurangnya 11 anggota simpanan telah menamatkan hidup mereka akibat masalah kesihatan mental yang berkait dengan pengalaman perkhidmatan.



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 8, 2025