Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Penyeksaan dan penderaan di kem tahanan terkenal, Sde Teiman yang dikendalikan di bawah pengawasan tentera Zionis merupakan dasar sistematik yang diketahui oleh para komander tentera, menurut seorang tentera simpanan kepada sebuah akhbar Israel pada Jumaat.

Dalam pendedahan itu, tentera tersebut memberitahu akhbar Haaretz bahawa kebanyakan mangsa yang diseksa ialah orang awam dan bukanlah daripada kumpulan pejuang Palestin seperti HAMAS.

Menurutnya lagi, ramai tahanan Palestin dibebaskan dari penjara itu ‘dibawa di dalam beg mayat’ akibat penyeksaan, kecuaian perubatan dan kebuluran.

Turut diceritakan, “Saya lihat mereka terkencing dan terbuang air besar (di tempat yang tidak sepatutnya membuang ‘hajat’) kerana tidak dibenarkan ke tandas. Saya masih ingat baunya. Ramai antara mereka bukannya pejuang, cuma warga Gaza yang ditahan sementara siasatan, dan akhirnya dibebaskan selepas diseksa teruk apabila didapati mereka tidak bersalah.”

Lebih mengejutkan lagi, pembedahan yang dijalankan ke atas tahanan Palestin dilakukan tanpa bius.Katanya lagi, “Tidak menghairankan jika ramai yang mati di sana. Apa yang menghairankan ialah masih ada yang berjaya meneruskan hidup.”

“Setiap orang yang pernah ditahan tahu sejauh mana tahap penyeksaan, pembedahan tanpa bius, dan kekotoran yang amat dahsyat. Namun, semua itu tidak pernah didedahkan.”

Seterusnya, tentera tersebut menjelaskan bahawa penderaan dan penyeksaan di Sde Teiman bukan sekadar satu insiden. Ia jelas merupakan satu dasar yang dijalankan dan dikekalkan dengan kerjasama penuh media Israel. Tentera Israel telah membebaskan puluhan rakyat Palestin dari semenanjung Gaza sejak beberapa bulan lalu tanpa sebarang penyelarasan mahupun persetujuan dengan pihak Palestin.

Walaupun begitu, tiada angka rasmi tentang bilangan rakyat Gaza yang ditahan oleh Israel, tetapi anggaran menunjukkan bilangannya mencecah ribuan orang.

Sumber: Anadolu Ajansi, Haaretz

Written by
Admin
Published on
May 11, 2025