.png)
Menurut akhbar bahasa Ibrani, Maariv, rejim haram Israel telah meluluskan penubuhan cawangan syarikat Controp Precision Technologies Ltd di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Langkah ini digambarkan sebagai ‘tindakan keselamatan dan ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini’ sejak penandatanganan perjanjian normalisasi pada tahun 2020.
Controp Precision Technologies Ltd ialah sebuah syarikat yang pakar dalam reka bentuk dan pembuatan sistem elektro-optik/inframerah (EO/IR) yang digunakan untuk misi risikan, pemantauan, peninjauan dan penyasaran di darat, laut dan udara. Syarikat ini membekalkan penyelesaian kepada sektor pertahanan dan keselamatan dalam negeri.
Menurut akhbar tersebut, syarikat baharu yang dinamakan Controp Emirates Ltd akan beroperasi di zon perdagangan bebas Abu Dhabi (ADGM). Ia akan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat induk Israel dan akan beroperasi di bawah pengawasan keselamatan ketat Kementerian Pertahanan Israel.
Jumlah pelaburan bagi fasa pertama dianggarkan sekitar 30 juta dolar Amerika Syarikat (AS) yang akan dibiayai melalui saham Controp dan pinjaman daripada pemilik. Cawangan itu akan diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari Israel dan kawalan penuh akan kekal di bawah syarikat induk di Israel.
Sumber: Middle East Monitor