Slovenia pada Rabu mengumumkan larangan import barangan yang dihasilkan di wilayah haram Israel serta meluluskan pakej bantuan tambahan untuk rakyat Palestin di Gaza berikutan genosid yang sedang berlaku.
“Kerajaan hari ini melarang import barangan dari wilayah yang dijajah, termasuk sebarang langkah untuk mengelak daripada mematuhi larangan ini,” menurut kenyataan di laman web rasmi kerajaan.
Kerajaan juga mengarahkan kementerian yang berkaitan untuk mempertimbangkan larangan eksport barangan dari Slovenia kepada wilayah haram itu.
Menurut Perdana Menteri Slovenia, Robert Golob: “Tindakan Israel termasuk pembinaan penempatan haram, rampasan tanah, pemindahan paksa penduduk Palestin dan pemusnahan rumah mereka… merupakan pelanggaran serius yang berulang terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Tindakan ini bukan sahaja mengancam nyawa dan maruah penduduk Palestin, tetapi juga asas-asas tertib antarabangsa.”
Agensi berita itu berkata jumlah barangan yang terkesan adalah sangat kecil iaitu kurang daripada 2,000 euro (AS$2,327.60) pada tahun 2023.
Slovenia mengiktiraf Palestin pada Jun tahun lalu. Minggu lalu, negara itu turut mengenakan embargo ke atas eksport, import dan transit senjata ke Israel, dua minggu selepas mereka mengisytiharkan menteri-menteri Israel sebagai persona non grata (individu yang tidak dialu-alukan).
Langkah Slovenia itu diambil ketika tekanan dalam Kesatuan Eropah (EU) semakin memuncak terhadap Israel berhubung serangan berterusan di Gaza, yang meragut lebih 60,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Sumber: Quds News Network