
Palestin menyeru seluruh rakyatnya agar mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai inisiatif bersempena Hari Tahanan Palestin, sebagai tanda solidariti dan sokongan padu terhadap para tahanan Palestin yang kini berada di sebalik jeriji besi penjara rejim, serta berdepan ancaman pembunuhan secara sistematik.
Institusi-institusi kebangsaan turut menyeru agar rakyat Palestin bersama-sama seluruh masyarakat dunia yang bebas merdeka untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai tindakan solidariti di peringkat nasional dan antarabangsa, sebagai lambang kesatuan pendirian serta usaha meningkatkan tekanan bagi menggugurkan undang-undang hukuman mati ke atas tahanan.
Mereka menegaskan bahawa Hari Tahanan Palestin perlu dijadikan sebagai penerus momentum sama ada di peringkat nasional mahupun global secara konsisten, demi memperkukuh perjuangan membebaskan tahanan, menolak dasar hukuman mati serta menentang sistem pembunuhan berterusan yang dikenakan ke atas mereka yang kini berada di penjara-penjara rejim Israel.
HAMAS turut menghargai segala usaha dan kebangkitan media massa dengan pelbagai aktiviti solidariti bersama tahanan Palestin, sebagai satu usaha menzahirkan sokongan terhadap hak-hak mereka yang sah serta sebagai penolakan dan kecaman terhadap jenayah dan pelanggaran harian yang mereka hadapi termasuklah kelulusan undang-undang hukuman gantung sampai mati ke atas tahanan.
Gerakan itu juga menyeru rakyat Palestin, umat Islam dan institusi-institusi yang menyokong tahanan di seluruh dunia agar memperhebat dan memperluas segala bentuk mobilisasi massa serta sebarang bentuk tindakan solidariti.
Menurut statistik terkini yang didokumentasikan oleh institusi berkaitan tahanan, jumlah tahanan Palestin dan tahanan Arab di penjara rejim Israel telah melebihi 9,600 orang setakat awal April 2026, menurut organisasi yang memperjuangkan hak tahanan Palestin. Perkara ini dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada hari Selasa oleh Commission of Detainees’ and Ex-Detainees’ Affairs, Palestinian Prisoner Society, dan Addameer Prisoner Support and Human Rights Association.
Seramai 86 orang merupakan tahanan wanita, dengan 25 daripadanya ditahan di bawah tahanan pentadbiran. Kira-kira 350 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun kini ditahan di Penjara Ofer dan Penjara Megiddo, manakala dua kanak-kanak perempuan ditahan di Penjara Damon.
Undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin dilihat sebagai satu perubahan berbahaya dalam struktur keganasan rejim, kerana ia bukan sahaja memberikan legitimasi palsu kepada jenayah pembunuhan, malah membuka fasa baharu dalam pengesahan pembunuhan beramai-ramai secara sistematik terhadap rakyat Palestin.
Undang-undang tersebut dirangka secara diskriminatif dan bersifat perkauman, menyasarkan rakyat Palestin secara khusus, serta mencerminkan kecenderungan rejim penjajah untuk menginstitusikan pembunuhan beramai-ramai melalui kerangka perundangan yang menyeluruh.
Sumber: Shehab News, The Palestinian Information Center