Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir mengetuai ratusan pendatang haram Israel dalam satu serbuan ke kompleks Masjid al-Aqsa pada Ahad, di bawah kawalan ketat pasukan polis.


Dalam serbuan tersebut, kumpulan itu secara lantang membacakan kitab Talmud Yahudi dan cuba mencetuskan provokasi terhadap jemaah Muslim yang berada di kawasan masjid.


Rakaman video yang disiarkan menunjukkan ratusan pendatang haram menyerbu kawasan halaman Masjid al-Aqsa, dengan sebahagian daripada mereka dilihat menari, menjerit dan mengganggu kesucian tempat ibadat suci umat Islam itu.


Hal ini jelas sekali telah melanggar status quo yang menegaskan larangan terhadap bacaan doa Yahudi di timur Baitul Maqdis yang menempatkan Masjid al-Aqsa.


Penduduk tempatan memaklumkan bahawa pasukan Israel bertindak menyekat dengan ketat akses rakyat Palestin ke Masjid al-Aqsa dengan hanya segelintir penduduk yang dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.


Menurut laporan media, Ben Gvir dilaporkan berkata:


“Masjid al-Aqsa ini adalah untuk orang Yahudi dan kami akan kekal di sini selama-lamanya.”


Sejak dilantik sebagai menteri dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Itamar Ben Gvir telah mengetuai sekurang-kurangnya 11 serbuan ke atas Masjid al-Aqsa.


Dalam masa yang sama, beberapa ahli politik sayap kanan lain turut menyuarakan sokongan terhadap rancangan untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina kuil Yahudi di tapak yang mereka dakwa sebagai lokasi asal kuil lama Yahudi.


Antara ratusan individu yang menyertai serbuan pada Ahad itu ialah Ahli Parlimen sayap kanan parti Likud, Amit Halevi, yang sebelum ini berulang kali menyeru agar Israel memusnahkan semua sumber air, makanan dan tenaga di Gaza.


Majlis Gabenor Baitul Maqdis juga mengecam serbuan tersebut dan merayu kepada masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara Islam untuk mengambil tindakan segera.


“Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar pencerobohan biasa. Ia merupakan satu langkah penting dalam usaha memaksakan kedaulatan Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa dan membahagikannya secara fizikal antara umat Islam dan pendatang
Yahudi,” katanya.


“Selama ini, penjajah telah pun memaksa pembahagian secara kekal dan kini mereka beralih ke fasa seterusnya. Kami menganggap serbuan ini sebagai satu pengisytiharan perang agama terhadap tapak suci Islam dan Kristian, serta satu isyarat awal kepada tercetusnya peperangan yang berpotensi melangkaui sempadan Palestin dan mengancam keselamatan serta kestabilan rantau ini dan dunia,” tambahnya.



Sumber: Middle East Eye

Written by
Admin
Published on
August 4, 2025