Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kawasan tengah Gaza berdepan satu lagi gelombang serangan rejim Israel malam tadi apabila beberapa serangan udara dan tembakan dilaporkan menyasarkan kawasan awam, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di tengah-tengah pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata.

Menurut sumber tempatan, pesawat tempur rejim Israel melancarkan serangan udara ke atas sebuah rumah milik keluarga Ismail di Kem al-Maghazi, tengah Gaza. Serangan difahamkan telah memusnahkan rumah berkenaan sepenuhnya selain menyebabkan kerosakan besar terhadap kediaman dan harta benda awam di kawasan sekitar.

Sumber perubatan di Hospital Syuhada al-Aqsa di Deir al-Balah memaklumkan beberapa orang mangsa yang cedera dibawa ke hospital susulan serangan tersebut, termasuk wanita dan kanak-kanak. Pasukan perubatan dilaporkan menerima mangsa dengan tahap kecederaan berbeza, termasuk seorang mangsa yang berada dalam keadaan kritikal.

Serangan itu turut mencetuskan kebakaran besar di lokasi kejadian, menyebabkan pasukan pertahanan awam dikerahkan bagi mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran. Bagaimanapun, operasi menyelamat dan pemadaman dilaporkan berdepan kesukaran akibat keadaan di lapangan yang rumit.

Sebelum serangan berlaku, penduduk di kawasan tersebut dilaporkan menerima arahan pemindahan daripada pihak risikan rejim Israel supaya mengosongkan blok kediaman berkenaan sebagai persediaan untuk serangan. Arahan yang dikeluarkan lewat malam itu memaksa puluhan keluarga meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa.

Dalam insiden berasingan, seorang rakyat Palestin dilaporkan cedera parah selepas ditembak secara langsung oleh tentera rejim Israel berhampiran kawasan Blok 1 di timur Kem al-Bureij.

Pemerhati menyifatkan peningkatan serangan dan pemusnahan kawasan kediaman sebagai sebahagian daripada tindakan berterusan rejim Israel yang dilihat menjejaskan pelaksanaan gencatan senjata serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataannya pada Rabu memaklumkan hospital di seluruh Gaza telah menerima satu jenazah syuhada’ dan 16 mangsa yang cedera dalam tempoh 24 jam lalu. Menurut kementerian itu, sejumlah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di kawasan terbuka kerana pasukan ambulans serta pertahanan awam gagal mendapatkan akses ke lokasi terbabit akibat sekatan dan risiko keselamatan.

Kementerian turut memaklumkan bahawa sejak pengumuman gencatan senjata pada 11 Oktober lalu, seramai 881 rakyat Palestin telah terkorban manakala 2,621 lagi cedera. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 776 jasad syuhada berjaya ditemukan dan dikeluarkan dari kawasan serangan terdahulu.

Secara keseluruhan, jumlah korban akibat serangan berterusan rejim Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 72,773 syahid dan 172,723 mangsa cedera.


Sumber: Shehab News

Written by
Admin
Published on
May 21, 2026