Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif terbunuh bersama empat rakan sekerjanya dalam serangan terancang rejim Zionis ke atas sebuah khemah yang menempatkan petugas media di Bandar Gaza.
Serangan yang berlaku lewat malam Ahad di luar pintu utama Hospital al-Shifa itu mengorbankan tujuh orang, termasuk wartawan Al Jazeera, Mohammed Qreiqeh, serta jurukamera Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan Moamen Aliwa.
Sebelum terbunuh, al-Sharif, 28, yang terkenal dengan liputan meluas dari utara Gaza, memuat naik hantaran di platform X mengenai pengeboman intensif Israel dikenali sebagai tali api (fire belts) di bahagian timur dan selatan Bandar Gaza. Dalam video terakhirnya, kedengaran dentuman kuat peluru berpandu Israel diiringi cahaya jingga membelah langit malam.
Dalam mesej terakhir yang ditulis pada 6 April untuk disiarkan jika beliau gugur, al-Sharif berkata:
“Aku telah merasai kesakitan dalam setiap butirnya, menelan duka dan kehilangan berkali-kali. Namun, aku tidak pernah ragu menyampaikan kebenaran tanpa putar belit, dengan harapan Allah menyaksikan mereka yang membisu, mereka yang merelakan pembunuhan kami, dan mereka yang mencekik nafas kami. Bahkan jasad hancur anak-anak dan wanita kami tidak menggerakkan hati mereka untuk menghentikan pembantaian ini.”
Beliau turut meluahkan kesedihan kerana meninggalkan isterinya, Bayan, serta tidak berkesempatan melihat anak lelakinya, Salah, dan anak perempuannya, Sham, membesar.
Dalam kenyataan rasmi, Al Jazeera mengecam pembunuhan itu sebagai serangan terancang dan terang-terangan terhadap kebebasan media.
“Perintah untuk membunuh Anas al-Sharif, salah seorang wartawan paling berani di Gaza dan rakan-rakannya, adalah usaha terdesak untuk menutup suara yang membongkar rancangan penaklukan dan pendudukan Gaza,”
kata rangkaian media itu, sambil menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menghentikan genosid yang sedang berlaku.
Wartawan Al Jazeera English, Hani Mahmoud yang berada hanya satu blok dari lokasi serangan, menyifatkan laporan mengenai kematian al-Sharif sebagai tugasan paling sukar sepanjang 22 bulan liputannya di medan perang. Beliau berkata para wartawan ini dibunuh kerana mereka tanpa henti melaporkan tentang kebuluran, malnutrisi dan penderitaan rakyat Gaza, hanya kerana mereka membawa kebenaran jenayah ini kepada dunia.
Tentera Israel, dalam kenyataan yang mengesahkan pembunuhan tersebut, menuduh al-Sharif mengetuai sel HAMAS dan terlibat dalam melancarkan serangan roket ke arah Israel. Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang menjadi bukti kukuh penglibatannya.
Bagaimanapun, penganalisis Euro-Med Human Rights Monitor, Muhammed Shehada menegaskan tiada bukti langsung al-Sharif terlibat dalam sebarang pertempuran, sambil menyatakan rutin hariannya hanyalah berdiri di hadapan kamera dari pagi hingga malam.
Bulan lalu, selepas jurucakap tentera Israel, Avichai Adraee, berkongsi semula video yang menuduh al-Sharif sebagai anggota sayap bersenjata HAMAS. Pelapor Khas PBB mengenai Kebebasan Bersuara, Irene Khan, berkata beliau amat bimbang dengan ancaman berulang dan tuduhan yang dibuat terhadap al-Sharif.
Sejak bermulanya perang pada Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 200 wartawan dan pekerja media, termasuk beberapa kakitangan Al Jazeera dan ahli keluarga mereka. Hak asasi dan badan media antarabangsa menegaskan tuduhan bahawa wartawan Gaza adalah ahli Hamas hanyalah taktik untuk mendiskreditkan liputan mereka mengenai kekejaman Israel.
Sumber: Al Jazeera