Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pihak pengurusan Hospital Nasser di selatan Gaza memaklumkan bahawa limpahan air kumbahan kini menghalang kerja kakitangan hospital susulan serangan berterusan Israel, sekali gus memburukkan lagi penderitaan dalam sistem kesihatan Gaza yang sudah pun musnah teruk. Kerosakan teruk pada saluran kumbahan akibat serangan berterusan Israel telah menyebabkan sisa kumbahan tersebut membanjiri hospital dan kompleks sekitarnya.


Pengarah Pentadbiran Hospital Nasser, Iyad Barhoum, berkata tentera Israel menghalang kru teknikal daripada mengakses saluran itu untuk dibaiki, sekali gus memburukkan krisis dan menjejaskan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit. Tentera Israel telah berulang kali menyasarkan hospital terbesar di selatan Gaza itu sejak serangan bermula.


Pada Rabu, beberapa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa sistem penjagaan kesihatan Gaza telah menjadi sasaran pemusnahan terancang oleh tentera Israel, yang disifatkan sebagai pembunuhan perubatan (medicide). Mereka menuduh Israel sengaja menyerang dan menyekat bekalan kepada petugas kesihatan, paramedik serta hospital bagi menghapuskan perkhidmatan perubatan di wilayah terkepung itu.


Pelapor Khas PBB mengenai Hak Kesihatan, Tlaleng Mofokeng dan Pelapor Khas Bebas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese berkata:


“Sebagai manusia dan pakar PBB, kami tidak boleh berdiam diri terhadap jenayah perang yang dilakukan di depan mata kami di Gaza,” ujar mereka. 


“Selain menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku, kami juga menyaksikan medicide — unsur keji dalam usaha terancang mencipta keadaan bagi memusnahkan rakyat Palestin di Gaza, yang merupakan tindakan genosid. Petugas kesihatan berdepan serangan berterusan, penahanan, penyeksaan dan kini seperti penduduk lain, dibiarkan kebuluran,” tambah mereka lagi.



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
August 15, 2025