Sejak awal pagi ini, pesawat dan helikopter penjajah Israel telah melancarkan beberapa serangan udara ke atas kawasan awam di semenanjung Gaza, mengorbankan dan mencederakan ramai rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan pelarian.
Kira-kira jam 7:30 pagi waktu Malaysia, sebuah sekolah di bahagian barat Bandar Gaza menjadi sasaran serangan udara tentera penjajah. Di kawasan barat laut kawasan itu pula, beberapa rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan ramai lagi cedera selepas sebuah bilik darjah di sekolah itu terkena serangan secara langsung.
Dalam masa yang sama, helikopter tentera Israel turut melancarkan serangan udara ke atas kawasan al-Mawasi di selatan Khan Younis. Susulan itu, tiga lagi serangan udara dilaporkan menyasarkan kawasan yang sama. Dalam pada itu, sebuah dron Israel turut menyerang khemah yang menempatkan pelarian di kawasan al-Mawasi, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang cedera.
Serangan bertalu-talu ini menambahkan lagi bilangan mangsa dalam kalangan orang awam yang telah sekian lama menjadi sasaran penjajahan.
Sumber: Quds News Network