
Laporan dari Knesset mendapati peningkatan mendadak dalam bilangan warga haram Israel yang meninggalkan negara haram tersebut, dengan kebanyakan emigran terdiri daripada golongan muda dan berpendidikan.
Menurut laporan akhbar Israel, data rasmi menunjukkan berlaku lonjakan mendadak dalam jumlah rakyat Israel yang berhijrah ke luar negara, mencapai rekod tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, manakala hanya segelintir yang kembali semula.
Akhbar yang sama turut melaporkan bahawa satu laporan khas Knesset mendapati kebanyakan emigran merupakan golongan muda berpendidikan berumur antara 20 hingga 39 tahun, termasuk sebahagian yang pernah berhijrah ke wilayah haram Israel tetapi meninggalkan negara tersebut tidak lama selepas itu.
Penemuan tersebut diterbitkan oleh Pusat Penyelidikan dan Maklumat Knesset menjelang sesi Jawatankuasa Parlimen bagi Imigresen dan Penyerapan yang akan bersidang pada hari Isnin bagi membincangkan trend penghijrahan yang semakin meningkat.
Berdasarkan data dari Biro Perangkaan Pusat Israel yang dirujuk dalam laporan yang sama, purata kira-kira 36,000 rakyat haram Israel telah meninggalkan negara setiap tahun antara 2009 dan 2021.
Namun, sejak tahun 2022, penghijrahan meningkat ketara apabila seramai 55,000 rakyat Israel meninggalkan negara itu, naik 46 peratus berbanding tahun sebelumnya. Trend itu berterusan pada 2023 dengan kira-kira 82,700 rakyat Israel berhijrah, mencatat peningkatan hampir 50 peratus lagi.
Sementara itu, bilangan rakyat yang kembali selepas tinggal lama di luar negara kekal rendah, dengan purata sekitar 24,000 orang setahun, menurut laporan yang sama.
Sejak Oktober 2023, Israel telah melancarkan perang genosid di semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 68,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi