
Bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke Gaza masih terlalu terhad biarpun hampir empat minggu telah berlalu sejak gencatan senjata dilaksanakan. Keadaan bertambah buruk menjelang musim sejuk, apabila khemah penempatan yang uzur mula rosak akibat serangan berterusan rejim Israel sejak dua tahun lalu.
Gencatan senjata itu sepatutnya membuka laluan lebih luas bagi kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah kecil dan padat itu, di mana kebuluran telah disahkan sejak Ogos lalu. Hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman berterusan Israel.
Namun, menurut Program Makanan Sedunia (WFP), hanya separuh daripada bekalan makanan yang diperlukan berjaya dihantar masuk ke Gaza. Sementara itu, sekumpulan agensi Palestin melaporkan bahawa jumlah keseluruhan bantuan yang diterima hanyalah antara suku hingga sepertiga daripada jumlah yang dijanjikan.
Kerajaan haram Israel mendakwa telah ‘menunaikan tanggungjawabnya’ di bawah perjanjian gencatan senjata, yang menetapkan purata 600 lori bantuan dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari. Rejim penjajah itu turut menuduh HAMAS merampas bantuan makanan sebelum diagihkan, namun dakwaan tersebut dinafikan oleh pihak HAMAS.
Pentadbiran tempatan Gaza memaklumkan bahawa kebanyakan lori bantuan masih gagal sampai ke destinasi akhir akibat sekatan yang dikenakan rejim Zionis. Hanya sekitar 145 lori sehari dilaporkan benar-benar berjaya menghantar bekalan ke kawasan yang memerlukan.
Menurut Abeer Etefa, hanya dua lintasan sempadan ke Gaza yang dibuka dan situasi ini telah mengehadkan jumlah bantuan yang dapat dibawa masuk oleh WFP dan agensi-agensi lain.
“Kami perlukan akses penuh dan semua pergerakan perlu dipercepatkan. Kami sedang berlumba dengan masa — musim sejuk semakin hampir, rakyat masih kelaparan dan keperluan amat mendesak,” katanya.
Sumber: Reuters, Al Jazeera