Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jabatan Wakaf Islam di Baitul Maqdis mengumumkan pada pagi Rabu semalam bahawa Masjid al-Aqsa telah dibuka semula kepada para jemaah tanpa had bilangan, bermula dari waktu solat Subuh hari Khamis selepas ia ditutup oleh pihak berkuasa rejim penjajah selama 40 hari berturut-turut atas alasan keadaan darurat dan situasi keselamatan.

Sepanjang dalam tempoh tersebut, pasukan rejim penjajah telah mengenakan langkah ketenteraan yang ketat di sekitar Masjid al-Aqsa, selain bertindak menutup pintu-pintu Kota Lama Baitul Maqdis. Dalam pada masa yang sama, sebuah kumpulan Yahudi didakwa mengambil kesempatan bersempena perayaan Paskah Yahudi bermula 2 hingga 9 April, dengan cara menghasut dan menyeru pendatang haram agar melakukan pencerobohan ke atas masjid tersebut dengan seruan melakukan penyembelihan korban di dalamnya.

Beberapa pihak rasmi dan keagamaan sebelum ini telah memberi amaran mengenai bahaya berterusan yang mungkin berlaku susulan penutupan Masjid al-Aqsa. Ianya sekaligus dianggap sebagai satu pencabulan terang-terangan terhadap kebebasan beribadah di samping satu peningkatan berbahaya yang memerlukan campur tangan antarabangsa segera bagi menghentikan langkah-langkah tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Sekretariat Agung Liga Negara-Negara Arab dan Suruhanjaya Kesatuan Afrika memberi amaran mengenai bahaya berterusan susulan penutupan Masjid al-Aqsa oleh pasukan rejim penjajah Israel kepada jemaah Muslim untuk hari ke-40 berturut-turut. Tindakan ini dilihat sebagai sebahagian daripada peningkatan pelanggaran terhadap tempat-tempat suci Islam dan Kristian di Baitul Maqdis yang diduduki. Ianya juga dianggap sebagai percubaan untuk mengubah status sejarah dan perundangan sedia ada, yang merupakan ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau dan antarabangsa.

Ketiga-tiga organisasi tersebut menegaskan bahawa penjajahan tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki sejak tahun 1967, termasuk Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, serta tempat-tempat suci milik umat Islam dan Kristian.Mereka juga menegaskan penolakan tegas terhadap segala keputusan dan langkah rejim Israel yang tidak sah di sisi undang-undang, yang bertujuan mengubah realiti geografi dan demografi kota suci tersebut, serta identiti Arab, Islam dan Kristiannya. Ianya di samping melemahkan kedaulatan dan kewujudan Palestin di sana, serta usaha mengasingkannya daripada persekitaran Palestin.

Ketiga-tiga organisasi turut menekankan kepentingan mengekalkan status sejarah dan perundangan Masjid al-Aqsa, dengan keluasan 144 dunam, sebagai tempat ibadah khusus bagi umat Islam. Mereka juga menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), agar memikul tanggungjawab untuk memaksa pihak rejim penjajah menghormati hak kebebasan beribadah dan kesucian tempat-tempat suci, membuka semula pintu Masjid Al-Aqsa dengan segera kepada para jemaah, serta menarik balik semua sekatan terhadap akses rakyat Palestin ke sana.

Selain itu, organisasi tersebut turut menegaskan pendirian tetap mereka dalam menyokong hak-hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan, terutama hak untuk kebebasan, menentukan nasib sendiri dan menubuhkan negara merdeka berdaulat berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negaranya. Mereka turut memperbaharui sokongan penuh terhadap usaha masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan penyelesaian dua negara.


Sumber: Shehab News

Written by
Admin
Published on
April 9, 2026