Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Seorang bayi berusia dua bulan, Mohammad Abu Harbid menjadi mangsa terbaharu dalam perang genosid rejim Israel di semenanjung Gaza. Pengarah Maklumat Kesihatan di Kementerian Kesihatan Gaza, Zaher al-Wahidi melaporkan bahawa bayi tersebut meninggal dunia akibat hipotermia teruk di Hospital Kanak-Kanak al-Rantisi.


Kematian Mohammad menjadikan bilangan kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kesejukan di Gaza sejak November 2025 meningkat kepada empat orang, dan 12 orang sejak permulaan perang genosid Zionis pada Oktober 2023.


Sementara itu, seorang bayi berusia tujuh hari, Mahmoud al-Aqraa dilaporkan meninggal dunia pada awal hari Sabtu lalu selepas mengalami kesejukan melampau semasa ribut kuat melanda wilayah itu, menurut ayahnya, Adnan ketika memberitahu Anadolu. Musim sejuk yang teruk menambahkan lagi penderitaan keluarga yang terpaksa berlindung dan tinggal di khemah-khemah rapuh dengan perlindungan yang minimum daripada cuaca  melampau.


Keluarga tersebut difahamkan berlindung di khemah sementara di Deir al-Balah, di mana suhu sejuk dan angin kencang telah menyukarkan penduduk untuk mengekalkan kehangatan sepanjang malam.


“Dia mula menggigil teruk,” kata al-Aqraa. “Kami sudah cuba segala yang termampu, tetapi kami tiada alat pemanas, tiada tempat perlindungan yang selamat, tiada apa-apa untuk melindunginya daripada kesejukan.”


Pasukan kecemasan tidak dapat sampai kepada keluarga itu kerana keadaan cuaca yang buruk, yang akhirnya memaksa sang ayah membalut bayi Mahmoud dengan selimut dan membawanya ke hospital terdekat. Kakitangan perubatan menyatakan suhu badan Mahmoud telah menurun ke tahap yang sangat kritikal.


Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan Mahmoud stabil dan berasa hangat, Mahmoud kemudian dipindahkan ke Hospital Syuhada al-Aqsa, di mana bayi tidak bersalah itu meninggal dunia beberapa jam kemudian akibat hipotermia.


Abang Mahmoud, Yusuf berdiri di sebelahnya sambil menangis. “Dia (Mahmoud) meninggal disebabkan kesejukan melampau,” kata kanak-kanak itu perlahan. “Kami tiada alat pemanas. Kami hanya anya ada beberapa selimut dan itu pun tidak mencukupi.”


Unit Pertahanan Awam Gaza menyatakan pada awal Sabtu bahawa ribut yang berterusan telah merosakkan dan menerbangkan ribuan khemah milik keluarga yang terpaksa berlindung di situ, terutama di sepanjang kawasan pantai, mengakibatkan mereka terdedah kepada cuaca sejuk apabila angin mencecah kelajuan sehingga 60 kilometer sejam (37 batu sejam).


Jurucakap Unit Pertahanan Awam, Mahmoud Basal mengaitkan krisis ini dengan sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan masuk ke Gaza.

Basal menyatakan bahawa krisis ini bukan semata-mata akibat cuaca buruk, tetapi akibat sekatan berterusan terhadap kemasukan bahan perlindungan dan bahan binaan.


“Ini bukan soal bencana semula jadi,” katanya. “Ia adalah krisis kemanusiaan buatan manusia.”


Sumber: Anadolu Ajansi, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
January 13, 2026