
Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju untuk mengadakan rundingan di Oman pada Jumaat ini, menurut pegawai kedua-dua pihak. Persetujuan itu terjadi meskipun masih terdapat perbezaan pendapat mengenai tuntutan Washington agar rundingan turut membincangkan keupayaan peluru berpandu Iran, sementara Tehran menegaskan hanya mahu membincangkan program nuklearnya.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam platrom X menyatakan bahawa rundingan itu akan berlangsung di Muscat pada kira-kira jam 10 pagi (0600 GMT) waktu tempatan.
“Rundingan nuklear bersama AS dijadualkan berlangsung di Muscat kira-kira jam 10 pagi hari Jumaat,” tulis Araghchi, sambil mengucapkan terima kasih kepada Oman kerana memudahkan pertemuan itu.
“Saya berterima kasih kepada saudara-saudara kami di Oman atas segala persiapan yang diperlukan,” tambahnya.
Kenyataan ini disahkan juga oleh seorang pegawai Rumah Putih kepada Anadolu pada Rabu, meskipun laporan terdahulu oleh portal Axios menyatakan bahawa AS menolak perubahan lokasi rundingan, yang sebelum ini dijadualkan di Istanbul, Turkiye.
Sebelum Muscat dipilih, Istanbul dicadangkan sebagai lokasi, susulan intervensi berjaya Turkiye untuk membantu meredakan ketegangan antara kedua-dua buah negara. Berhubung perkara yang akan dibincangkan, Mehr News Agency, agensi semi-rasmi Iran, memetik sumber bahawa Washington berhasrat untuk menimbulkan isu di luar kerangka nuklear, termasuk hal pertahanan.
“Permintaan ini bukan sahaja tidak berkaitan dengan isu nuklear, malah berkait secara langsung dengan keselamatan negara dan keupayaan pertahanannya. Secara asasnya permintaan ini tidak boleh dirunding,” kata sumber yang tidak dinamakan itu.
Sumber tersebut menambah bahawa Iran sedia berunding dalam kerangka jelas berdasarkan rasa hormat bersama mengenai isu nuklear, namun kekecewaan berpunca daripada tuntutan berlebihan dan penekanan isu di luar perjanjian.
Oman sebelum ini pernah berperanan sebagai pengantara dalam kontak tidak langsung antara kedua-dua pihak.
Usaha diplomatik yang halus ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang meningkat, ketika AS memperkukuh kehadiran tenteranya di Timur Tengah. Sementara itu, para pelaku serantau dilaporkan berusaha mengelakkan sebarang konfrontasi ketenteraan. Langkah itu diambil bagi mengelakkan konflik yang berpotensi berkembang menjadi perang berskala lebih luas.
Sumber: Anadolu Ajansi, Reuters