Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran serta serangan balas Tehran terhadap sasaran di seluruh rantau ini telah memaksa sebahagian besar ruang udara Asia Barat ditutup, dengan kesan yang turut dirasai di peringkat global.


Sekurang-kurangnya lapan negara mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing apabila konflik tercetus pada Sabtu, termasuk Iran, Israel, Iraq, Jordan, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Syria turut mengumumkan penutupan sebahagian ruang udaranya di selatan berhampiran sempadan dengan Israel selama 12 jam.


Penutupan ruang udara tersebut berlaku selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas seluruh Iran, yang menurut Presiden AS bertujuan memusnahkan industri peluru berpandu Iran serta menghancurkan angkatan lautnya. Iran, yang sebelum ini sedang berunding dengan AS berhubung program nuklearnya sehingga saat serangan berlaku, berikrar akan bertindak balas dan tidak lama kemudian melancarkan serangan balas ke atas wilayah haram Israel serta beberapa buah negara Arab Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, termasuk Qatar, Kuwait, UAE dan Bahrain.


“Semua aset dan kepentingan AS serta Israel di Asia Barat kini menjadi sasaran yang sah,” lapor seorang pegawai kanan Iran kepada Al Jazeera. “Tiada lagi garis merah selepas pencerobohan ini dan segala kemungkinan boleh berlaku.”


Asia Barat menjadi laluan penting penerbangan antara Eropah dan Asia, terutama selepas ruang udara Rusia dan Ukraine ditutup kepada kebanyakan syarikat penerbangan susulan perang yang meletus di sana.


Susulan penutupan ruang udara oleh negara-negara di rantau ini, pesawat terpaksa melencong melalui Larnaca, Jeddah, Kaherah dan Riyadh.


Syarikat penerbangan UAE, Emirates dan flydubai, menghentikan operasi buat sementara waktu, manakala Etihad menggantung semua penerbangan keluar dari Abu Dhabi sehingga 10:00 GMT pada Ahad. Qatar Airways dan Kuwait Airways turut menggantung penerbangan sementara, manakala Turkish Airlines membatalkan penerbangan ke beberapa destinasi Asia Barat. Oman Air turut memaklumkan bahawa semua penerbangan ke Baghdad digantung susulan perkembangan serantau.


Pihak berkuasa penerbangan Kuwait menyatakan semua penerbangan ke Iran dihentikan sehingga diberitahu kelak, menurut agensi berita rasmi negara itu.


Kementerian Pengangkutan Rusia pula memaklumkan bahawa syarikat penerbangan Rusia telah menggantung penerbangan ke Iran dan Israel.


Antara syarikat penerbangan lain yang mengumumkan penggantungan operasi ke destinasi rantau ini termasuk Aegean Airlines, Air Algerie, Air France, Air India, British Airways, Cathay Pacific, Finnair, Iberia, Indigo, Japan Airlines, KLM, Lufthansa, Norwegian, Pakistan International Airlines, Scandinavian Airlines, Swiss International Air Lines, Turkish Airlines, Virgin Atlantic dan Wizz Air.


Secara keseluruhan, kira-kira 24 peratus penerbangan ke Asia Barat dibatalkan pada Sabtu, menurut firma pemantau penerbangan, Cirium. 


“Penumpang dan syarikat penerbangan perlu bersedia menghadapi penutupan ruang udara yang mungkin berlarutan di rantau ini,” kata Eric Schouten, Ketua Penasihat Keselamatan Penerbangan Dyami. “Impak terhadap sektor penerbangan di rantau berlaku serta-merta dan keadaannya berubah dengan begitu pantas.”


Wartawan Al Jazeera, Ali Hashem yang melaporkan dari Doha berkata, serangan bersama AS-Israel ke atas Iran dan tindak balas Iran yang menjejaskan banyak negara Teluk telah mewujudkan dua konflik yang berjalan secara selari, sekali gus menambah kedalaman ketidakstabilan di rantau itu.


“Keadaan ini boleh menjadikan keseluruhan krisis saling berkait dan sangat rumit, dengan cara yang belum pernah disaksikan rantau ini sebelum ini,” katanya.



Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
March 3, 2026