
Ribuan rakyat berhimpun di seluruh Australia pada Isnin semalam bagi membantah ketibaan Presiden wilayah haram Israel, Isaac Herzog, yang sedang mengadakan lawatan ke beberapa buah bandar di negara itu dengan alasan untuk menyatakan solidariti kepada komuniti Yahudi di Australia susulan insiden tembakan beramai-ramai yang meragut nyawa pada tahun lalu.
Herzog mengunjungi Australia minggu ini atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, selepas insiden tembakan pada 14 Disember lalu ketika Perayaan Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney yang telah mengorbankan 15 nyawa.
Sebaliknya, lawatan tersebut telah mencetuskan kemarahan sebahagian masyarakat Australia yang menuduh Herzog bersubahat dalam pembunuhan yang menyasarkan orang awam di Gaza. Kumpulan pro-Palestin telah menganjurkan protes di pelbagai bandar dan pekan di seluruh negara pada petang Isnin. Di Sydney, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di sebuah dataran di pusat bandar, mendengar ucapan dan melaungkan slogan pro-Palestin.
“Pembunuhan di Bondi merupakan satu tragedi besar, namun kepimpinan Australia langsung tidak mengiktiraf penderitaan rakyat Palestin dan penduduk Gaza,” kata Jackson Elliott, seorang penunjuk perasaan berusia 30 tahun dari Sydney. “Herzog mengelak daripada menjawab soalan berkaitan pendudukan dan mendakwa lawatan ini hanya berkisar tentang hubungan Australia–Israel, sedangkan beliau terlibat secara langsung,” tambahnya.
Pihak polis dikerahkan secara besar-besaran, termasuk kehadiran helikopter dan anggota berkuda. Polis menggunakan semburan lada dan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan yang cuba melepasi kawalan dan meneruskan perarakan. Beberapa penunjuk perasaan ditahan selepas berlaku pertembungan dengan pihak polis.
Dalam perkembangan berkaitan, ribuan ahli komuniti Yahudi, pegawai kerajaan dan ahli politik pembangkang menyambut Herzog dalam satu acara yang diadakan lebih satu kilometer dari lokasi protes, bagi memperingati mangsa serangan di Bondi.
Dalam satu kenyataan, Majlis Eksekutif Yahudi Australia (ECAJ) menggambarkan lawatan Herzog itu sebagai usaha yang boleh menguatkan semangat komuniti yang sedang terluka. Namun, Majlis Yahudi Australia yang lantang mengkritik kerajaan haram Israel telah mengeluarkan surat terbuka yang ditandatangani lebih 1,000 ahli akademik dan pemimpin komuniti Yahudi di Australia, menggesa Albanese menarik semula jemputan Herzog.
Sumber: Reuters