
Rejim Israel dilaporkan sedang membina sebuah pangkalan ketenteraan berhampiran Kem Pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki, dalam langkah yang disifatkan sebagai pembinaan pertama sejak Perjanjian Oslo ditandatangani lebih tiga dekad lalu.
Menurut laporan akhbar rejim Israel, Haaretz, pangkalan tersebut dibina di Kawasan A, iaitu wilayah yang menurut Perjanjian Oslo berada di bawah pentadbiran dan kawalan keselamatan Palestin.
Laporan itu mendedahkan bahawa Komander Wilayah Tengah Tentera rejim Israel telah menandatangani perintah rampasan tanah pada 7 Mei lalu bagi membolehkan pembinaan kemudahan ketenteraan tersebut di kawasan berhampiran Kem Pelarian Jenin.
Pihak berkuasa rejim Israel mendakwa pembinaan pangkalan itu bertujuan menggantikan penggunaan rumah-rumah penduduk Palestin sebagai lokasi operasi tentera serta memudahkan kehadiran pasukan keselamatan rejim Israel secara berterusan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, sumber yang dipetik Haaretz menyatakan kemudahan tersebut juga berpotensi digunakan bagi menyokong dan melindungi usaha mengembalikan pendatang haram Israel ke kawasan sekitar Jenin, selaras dengan rancangan kerajaan rejim Israel untuk mengembangkan semula penempatan haram di utara Tebing Barat.
Pendedahan itu dibuat ketika tentera rejim mempertahankan tindakan mereka dalam satu kes undang-undang yang mencabar pengusiran berterusan penduduk Palestin dari Kem Pelarian Jenin, Tulkarem dan Nur Shams.
Petisyen yang difailkan oleh Persatuan Hak Sivil Israel menuntut supaya perintah penutupan yang menghalang ribuan penduduk Palestin kembali ke kediaman mereka ditamatkan. Namun, pihak tentera rejim menolak tuntutan tersebut dengan alasan kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan keperluan operasi keselamatan masih perlu diteruskan.
Menurut dokumen mahkamah yang dipetik media, perintah rampasan tanah itu akan kekal berkuat kuasa sehingga 4 Oktober depan, manakala sekatan akses ke kawasan berkenaan akan diteruskan bagi membolehkan pembinaan pangkalan disiapkan.
Lebih 33,000 rakyat Palestin dipercayai masih tidak dapat kembali ke kediaman mereka di kem-kem pelarian utara Tebing Barat sejak operasi ketenteraan besar-besaran rejim Israel dilancarkan beberapa bulan lalu, menjadikannya antara episod pemindahan penduduk terbesar di wilayah tersebut dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Pembinaan pangkalan itu turut berlaku ketika rejim Israel terus memperluas penempatan haram di Tebing Barat. Pada tahun 2023, kerajaan haram Israel membatalkan sebahagian peruntukan undang-undang yang sebelum ini melarang pendatang haram Yahudi kembali ke beberapa penempatan yang telah dikosongkan di utara Tebing Barat.
Sejak itu, pelbagai kumpulan pendatang haram dan pemimpin politik rejim Israel mempergiat usaha untuk mewujudkan semula kehadiran tetap warga haram Israel di kawasan berkenaan. Laporan media turut menyebut bahawa kerajaan rejim sedang meneliti mekanisme pembiayaan bagi menyokong pembinaan 61 penempatan haram baharu di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Dalam perkembangan berkaitan, media Israel melaporkan seorang pegawai dan seorang anggota tentera rejim cedera parah selepas sebuah alat letupan meletup ketika operasi ketenteraan dijalankan di kawasan Jabriyat, berhampiran Jenin. Kedua-dua anggota tersebut dilaporkan dipindahkan menggunakan helikopter tentera untuk menerima rawatan.
Sejak beberapa bulan lalu, Jenin dan kawasan sekitarnya terus menjadi antara pusat utama operasi penentangan Palestin di Tebing Barat, dengan kumpulan pejuang Palestin melancarkan serangan hendap, pertempuran bersenjata dan serangan bahan letupan terhadap pasukan tentera rejim Israel.
Pada masa sama, tentera rejim turut meneruskan siri serbuan dan operasi penahanan di beberapa kawasan lain di Tebing Barat termasuk Ramallah, Nablus, Qalqilya, Baitul Lahm , Tulkarem dan Baitul Maqdis yang diduduki, sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan yang semakin dipertingkatkan sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023.
Sumber: The Palestine Chronicle