Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kabinet Keselamatan rejim haram Israel meluluskan langkah baharu untuk mendaftarkan kawasan di Tebing Barat sebagai ‘harta milik negara’, buat pertama kali sejak rejim itu menawan wilayah berkenaan dalam perang 1967. Keputusan tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh kawalan rejim haram Israel ke atas wilayah berkenaan serta memudahkan pendatang haram Yahudi membeli tanah.

Di bawah Perjanjian Oslo II (1995), Kawasan A berada di bawah kawalan penuh Palestin, Kawasan B di bawah kawalan sivil Palestin dan kawalan keselamatan rejim haram Israel, manakala Kawasan C yang merangkumi kira-kira 61% Tebing Barat kekal di bawah kawalan penuh pihak penjajah. Perjanjian itu juga mengehadkan pendaftaran tanah oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) kepada Kawasan A dan B sahaja.

Implikasi utama keputusan terbaharu ini adalah pertukaran kawasan yang sangat luas menjadi tanah milik negara haram Israel sekiranya tiada pemilikan lain dapat dibuktikan. Walaupun tanpa pengisytiharan rasmi pengilhakan, langkah tersebut secara signifikan mengukuhkan pegangan kerajaan haram Israel ke atas tanah melalui pendaftaran lot-lot yang tidak didaftarkan atas nama pihak lain.

Jika dilaksanakan, Penyelaras Aktiviti Kerajaan Wilayah (COGAT) Israel akan menyusun dan mendaftarkan pemilikan tanah di Kawasan C, termasuk mengeluarkan permit jual beli, mengutip bayaran dan menyelia proses pendaftaran. Ia sekali gus menghalang PA daripada menjalankan fungsi tersebut di kawasan berkenaan.

Namun demikian, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengecam keputusan itu sebagai ‘pengilhakan de facto wilayah Palestin yang dijajah’ dan permulaan kepada pelan pengilhakan rasmi.

Sejak rejim haram Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza pada 8 Oktober 2023, operasi di Tebing Barat termasuk Baitul Maqdis Timur turut dipertingkatkan. Rakyat Palestin melihat peningkatan pembunuhan, penahanan, pengusiran dan peluasan penempatan sebagai langkah ke arah pengilhakan rasmi wilayah itu.

Terdahulu, pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyatakan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah dan menggesa pengosongan penempatan di Tebing Barat serta Baitul Maqdis Timur, namun Israel menolak pandangan tersebut.


Sumber: Reuters, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
February 16, 2026