Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kabinet Keselamatan rejim haram Israel meluluskan langkah baharu bertujuan merombak secara asas rangka kerja undang-undang dan pentadbiran awam di Tebing Barat yang dijajah bagi mengukuhkan kawalan Zionis dan memperluas aktiviti penempatan haram mereka.

Penyiar awam Israel, KAN melaporkan keputusan yang didorong oleH Israel Katz dan Bezalel Smotrich itu merangkumi pemansuhan undang-undang era Jordan yang melarang penjualan tanah Palestin kepada orang Yahudi, pembukaan rekod pemilikan tanah, serta pemindahan kuasa kelulusan permit pembinaan di sebahagian al-Khalil (Hebron) kepada Pentadbiran Awam Zionis.

Langkah-langkah ini dijangka membawa perubahan besar terhadap mekanisme pendaftaran dan pembelian tanah di Tebing Barat, lapor akhbar harian Yedioth Ahronoth.

Kabinet tersebut juga membatalkan keperluan mendapatkan permit transaksi khas bagi melengkapkan pembelian tanah serta mengurangkan pengawasan profesional oleh Pentadbiran Awam, dengan menghadkan prosedur kepada keperluan pendaftaran asas sahaja.

Keputusan tersebut turut memperluas pengawasan dan kuasa penguatkuasaan rejim haram Israel ke kawasan yang diklasifikasikan sebagai Kawasan A dan Kawasan B, dengan alasan terdapat pelanggaran berkaitan pembinaan tanpa lesen, isu air, serta kerosakan terhadap tapak arkeologi dan alam sekitar.

Ini akan membolehkan perobohan dan rampasan harta milik Palestin dilakukan walaupun di kawasan yang ditadbir secara sivil dan keselamatan oleh Pihak Berkuasa Palestin, menurut laporan-laporan berkenaan.

Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa sebahagian keputusan itu memberi kesan kepada pengaturan sedia ada di al-Khalil (Hebron), dengan memindahkan kuasa perancangan dan pembinaan di Masjid Ibrahimi dan kawasan sekitarnya, serta tapak-tapak keagamaan lain, daripada perbandaran al-Khalil (Hebron) kepada badan perancangan Pentadbiran Awam Israel. Langkah ini bercanggah dengan pengaturan di bawah Protokol Hebron 1997 antara rejim haram Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Di bawah Perjanjian Oslo 1993, Kawasan A berada di bawah kawalan penuh sivil dan keselamatan Palestin, Kawasan B di bawah kawalan sivil Palestin dengan kawalan keselamatan Israel, manakala Kawasan C kekal di bawah kawalan penuh Israel.

Menurut Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Aparteid, sebuah agensi kerajaan, Israel telah melaksanakan sebanyak 538 perobohan pada tahun 2025, menjejaskan kira-kira 1,400 rumah dan struktur bangunan. Peningkatan perobohan ini belum pernah berlaku berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sumber: Anadolu Ajansi, Reuters

Written by
Admin
Published on
February 9, 2026