Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim haram Israel pada Ahad telah meluluskan satu pelan untuk merampas rumah dan kedai milik rakyat Palestin di sepanjang Jalan Bab al-Silsila di Kota Lama Baitul Maqdis yang dijajah. Langkah itu merupakan rampasan terbesar di kawasan berkenaan sejak tahun 1967.

Keputusan tersebut mengesahkan arahan yang ditandatangani hampir 10 bulan lalu oleh  Menteri Warisan negara haram Israel Amichai Eliyahu. Pelan itu menyasarkan hartanah berhampiran bahagian barat kompleks Masjid al-Aqsa dan dijangka menyebabkan puluhan penduduk asal Palestin serta pemilik kedai diusir dari kawasan tersebut.


Radio Tentera rejim Zionis melaporkan awal minggu ini bahawa jalan berkenaan berkemungkinan dimasukkan ke dalam kawasan yang digelar sebagai “Kawasan Yahudi” selepas undian kerajaan diluluskan. Pihak berkuasa Israel mendakwa langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ‘kedaulatan’ Israel di kawasan tersebut.


Keputusan itu mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan penduduk asal Palestin dan para peniaga yang kebanyakannya telah menetap dan berniaga di kawasan itu sejak beberapa generasi. Kawasan tersebut terletak hanya beberapa meter dari Masjid al-Aqsa dan mempunyai kepentingan agama, sejarah serta politik yang sangat besar.


Gabenor Baitul Maqdis menyifatkan pelan itu sebagai peningkatan agresif penjajahan yang menyasarkan Kota Lama Baitul Maqdis. Beliau memberi amaran bahawa langkah tersebut boleh membuka jalan kepada fasa baharu pengusiran paksa dan penguasaan lebih ketat Israel terhadap harta bersejarah milik Palestin.


Beliau turut menegaskan bahawa Bab al-Silsila merupakan salah satu pintu masuk penting Masjid al-Aqsa. Mereka berkata sasaran terhadap kawasan itu membawa dimensi politik dan agama yang jauh melangkaui pertikaian hartanah semata-mata.


Anggaran menunjukkan antara 15 hingga 20 kedai dan hartanah kediaman bakal dirampas sekiranya pihak berkuasa melaksanakan pelan tersebut sepenuhnya.


Radio Tentera Israel tidak mendedahkan jumlah sebenar hartanah yang disasarkan atau identiti pemiliknya. Namun, kawasan itu mengandungi banyak hartanah bersejarah Palestin sejak era Ayyubiyyah, Mamluk dan Uthmaniyyah.


Penduduk tempatan bimbang pelaksanaan pelan rampasan itu akan membawa lebih ramai pendatang haram Israel ke kawasan berkenaan, sekali gus menyekat akses rakyat Palestin ke Masjid al-Aqsa menerusi kawalan keselamatan Israel yang lebih ketat.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
May 18, 2026