Ratusan ribu rakyat Australia membanjiri Jambatan Sydney Harbour hujung minggu lalu dalam satu tunjuk perasaan besar-besaran bagi membantah perang genosid yang dilakukan Israel ke atas Gaza serta menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus dizalimi.
Perarakan yang dinamakan March for Humanity itu berlangsung pada Ahad, menyaksikan para peserta melaungkan slogan seperti ‘Ceasefire Now’ dan ‘Free Palestine’.
Sebahagian daripada mereka turut membawa periuk dan kuali sebagai simbol kebuluran yang melanda Gaza akibat sekatan makanan berterusan oleh Israel.
Protes anjuran Palestine Action Group Sydney itu pada awalnya cuba disekat oleh pihak polis atas alasan keselamatan, namun Mahkamah Agung New South Wales menolak permohonan tersebut. Menurut penganjur, lebih 300,000 orang hadir menyertai perarakan, menjadikannya antara demonstrasi terbesar dalam sejarah Australia.
Antara figura terkenal yang turut hadir ialah pengasas WikiLeaks, Julian Assange, mantan Menteri Luar Australia, Bob Carr, Ahli Parlimen Muslim pertama Australia, Ed Husic, pelakon peribumi Meyne Wyat dan senator parti berhaluan kiri Australia, Greens, Mehreen Faruqi.
Dalam ucapannya di Stadium Lang Park, Faruqi mengecam kerajaan New South Wales dan menyifatkan larangan terhadap protes tersebut sebagai satu cubaan untuk melindungi Israel serta kerajaan daripada dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.
“Ini bukan soal logistik atau lalu lintas, ini soal menindas hak bersuara rakyat. Ini tentang keengganan kerajaan untuk mengakui penglibatan mereka dalam jenayah perang,” kata Faruqi.
Tunjuk perasaan itu berlangsung hanya beberapa hari selepas Australia bersama beberapa negara lain mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan kesediaan mereka untuk mengiktiraf Palestin sebagai satu langkah penting ke arah penyelesaian dua negara.
Beberapa negara Barat seperti Perancis, Britain dan Kanada turut menyuarakan hasrat yang sama, ketika kebimbangan global semakin memuncak berikutan krisis kemanusiaan akibat kebuluran yang disengajakan di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 175 orang, termasuk 93 kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat sejak Oktober 2023.
Meskipun Australia telah menggesa agar peperangan dihentikan, namun, negara itu masih belum membuat keputusan untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara rasmi.
Sumber: Al Jazeera, Middle East Eye