.png)
Ketua Pusat Al-Quds Antarabangsa, Hassan Khater memberi amaran mengenai percepatan rancangan rejim Israel untuk mengubah status quo di Masjid al-Aqsa, sambil menegaskan bahawa kerajaan haram Israel dan kumpulan pelampau yang berkait dengannya telah beralih daripada sekadar mempromosikan idea kepada melaksanakan rancangan tersebut di lapangan.
Dalam kenyataan media, Khater berkata cita-cita rejim Israel kini semakin menjurus ke arah merealisasikan projek pembinaan sebuah rumah ibadat Yahudi (sinagog) di dalam kawasan Masjid al-Aqsa secara lebih jelas dan terbuka.
Beliau menjelaskan dari sudut pandangan Israel, hampir semua prasyarat bagi melaksanakan projek tersebut telah tersedia, terutama selepas usaha menormalisasikan idea itu semakin diterima dalam kalangan dunia Arab dan Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, apa yang sedang berlaku di Masjid al-Aqsa merupakan usaha yang dirancang dan dilaksanakan secara sistematik untuk mengubah keadaan sedia ada, dengan matlamat akhir mengukuhkan proses pengyahudian masjid tersebut dan merealisasikan agenda yang telah lama diperjuangkan oleh kumpulan pelampau pendatang haram Yahudi.
Khater turut menyatakan bahawa perubahan di lapangan kini semakin ketara di Baitul Maqdis yang diduduki, khususnya di Masjid al-Aqsa, apabila pihak berkuasa rejim Israel berusaha mewujudkan realiti baharu di dalam kawasan kompleks suci itu bagi menyokong agenda pengyahudian mereka. Dalam konteks yang sama, beliau menjelaskan bahawa kawasan timur Masjid al-Aqsa dan kawasan di sebelah timur Kubah as-Sakhrah masih dipenuhi sisa pembinaan, timbunan tanah dan tumbuhan kering.
Sementara itu, dalam sebuah laporan dan dakwaan mengenai kerjasama antara pegawai Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan status quo turut mencetuskan kebimbangan meluas. Menurut media Middle East Eye (MEE) melaporkan bahawa sebuah badan baharu yang ditubuhkan kerajaan haram Israel mungkin akan mengisytiharkan Masjid al-Aqsa sebagai sebuah pusat pelbagai agama.
Apabila ditanya mengenai perkara itu dalam satu pendengaran Kongres, Marco Rubio berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya. Namun, Duta Besar AS ke wilayah haram Israel, Mike Huckabee, sering menyuarakan sokongan terhadap hubungan sejarah Yahudi dengan tapak-tapak suci di Baitul Maqdis dan Tebing Barat.
Laporan lain turut mendakwa bahawa solat Yahudi secara besar-besaran berkemungkinan bakal dibenarkan di lokasi tersebut dan seluruh tadbir urus Masjid al-Aqsa akan diambil alih secara berperingkat oleh rejim Israel.
Sumber: Shehab News, BBC