Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Perhimpunan besar-besaran komuniti Yahudi ultra-Ortodoks di Baitul Maqdis bagi membantah kewajipan perkhidmatan tentera bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas terjatuh ketika demonstrasi berlangsung. Polis Israel memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Perdebatan mengenai pelaksanaan khidmat ketenteraan wajib serta pengecualian terhadap pihak tertentu telah lama mencetuskan ketegangan dalam kalangan penduduk haram Israel. Isu tersebut turut meningkatkan tekanan politik terhadap Perdana Menteri wilayah haram itu, Benjamin Netanyahu, sepanjang tahun lalu.

Pelajar seminari ultra-Ortodoks telah lama dikecualikan daripada khidmat ketenteraan wajib, sesuatu yang dianggap tidak adil oleh ramai penduduk haram Israel. Mereka berpendapat golongan sekular menanggung beban lebih besar dalam mempertahankan wilayah itu.

Kemarahan tersebut semakin memuncak sepanjang dua tahun konflik kebelakangan ini, apabila angka korban tentera haram Israel mencatat peningkatan tertinggi dalam beberapa dekad. Situasi itu berlaku ketika pertempuran merebak dari Semenanjung Gaza ke Lubnan, Syria, Yaman dan Iran.

Keadaan ini terus memburukkan perdebatan mengenai Rang Undang-undang (RUU) khidmat ketenteraan wajib yang baharu, yang kini menjadi punca utama krisis politik dalam kerajaan gabungan pimpinan Netanyahu. Dia memegang tampuk pemerintahan sejak akhir 2022 bagi penggal empat tahun.

Pemimpin komuniti Yahudi ultra-Ortodoks menegaskan bahawa penumpuan sepenuh masa terhadap pengajian kitab suci merupakan ibadah yang suci dan tidak wajar diganggu. Mereka turut bimbang anak muda dalam komuniti itu akan terpesong daripada kehidupan beragama sekiranya dipaksa menyertai tentera.

Sumber: Reuters

Written by
Admin
Published on
October 31, 2025