Menurut laporan Financial Times, Institut Tony Blair (TBI) telah dikaitkan dengan satu rancangan projek pembersihan etnik pascaperang di Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Projek itu termasuk usaha menukar wilayah Gaza yang musnah menjadi sebuah kawasan mewah dikenali sebagai Trump Riviera, dengan infrastruktur yang dinamakan sempena pemerintah negara-negara Teluk.
Rancangan tersebut digariskan dalam pembentangan bertajuk The Great Trust yang disediakan oleh ahli perniagaan Israel dengan sokongan daripada Boston Consulting Group (BCG). Ia mengandaikan bahawa sekurang-kurangnya 25% daripada penduduk Palestin di Gaza akan ‘berpindah secara sukarela’ tanpa jangkaan untuk kembali.
Rancangan itu merangkumi transformasi Gaza menjadi hab pelaburan dengan sistem perdagangan berasaskan rantaian blok (blockchain), zon ekonomi khas yang rendah cukai dan pulau buatan yang menyerupai reka bentuk pantai di Dubai. Dalam pembentangan tersebut juga mencadangkan tanah awam di Gaza diletakkan di bawah pengurusan khas yang dikawal oleh Israel, manakala pemilik tanah persendirian akan menerima token digital sebagai ganti rugi.
Walaupun pada awalnya TBI menafikan penglibatan mereka, namun akhirnya institusi tersebut mengakui dua kakitangannya hadir dalam perbincangan mengenai rancangan tersebut.
Antara penyokong rancangan ini ialah Pakar Teknologi Israel seperti Liran Tancman dan Michael Eisenberg. Kedua-duanya dikatakan berkait dengan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), satu lagi organisasi kontroversi yang diwujudkan oleh Israel dan pentadbiran Trump.
Sementara itu, TBI juga didedahkan mempunyai hubungan lama dengan organisasi pro-Israel. Tony Blair merupakan penaung kehormat kepada Jewish National Fund di United Kingdom (UK), sebuah organisasi yang membiayai perluasan penempatan haram Israel dan telah menghapuskan nama Palestin daripada peta mereka.
Peta di laman web TBI turut memaparkan Tebing Barat, Gaza dan Dataran Tinggi Golan sebagai sebahagian daripada wilayah Israel, memburukkan lagi kebimbangan tentang kecenderungan institusi ini.
Rancangan tersebut kini mencetuskan perhatian meluas serta pemantauan ketat dari komuniti antarabangsa. Aktivis dan pakar undang-undang memberi amaran bahawa rancangan ini mencerminkan usaha yang lebih menyeluruh oleh Israel dan sekutunya untuk membentuk semula Gaza. Usaha tersebut melibatkan penyingkiran penduduk asal dan penukaran wilayah itu menjadi zon komersial yang menguntungkan sambil mengenepikan hak-hak rakyat Palestin.
Sumber: Quds News Network